KOREA SELATAN: Bukan kali pertama video penyanyi kumpulan Blackpink, Jennie Kim, 27, yang menunjukkan dia seolah-olah gagal menari dengan baik berbanding ahli kumpulan yang lain, tular.
Ramai menuduh penyanyi itu malas dan tidak profesional kerana dilihat gagal mempersembahkan koreografi dengan baik dan bertenaga.
Maklum dengan kritikan dan tuduhan yang dilemparkan, Jennie menerusi temu bual terbaharunya bersama penyanyi popular, Dua Lipa mendedahnya dia sering mengalami kecederaan terutamanya semasa awal kemunculan kumpulan Blackpink.
“Saya tak tahu bagaimana hendak mengawal badan dengan betul.
Saya selalu menyakiti diri sendiri berbanding ahli kumpulan yang lain setiap kali persembahan.
“Saya akan terjatuh, tersadung lagi dan lagi. Ia memberi tekanan yang hebat kepada saya.
“Sehingga ada masanya saya seperti sudah mengecewakan peminat. Seolah-olah saya belum berikan yang terbaik,” katanya menderusi podcast bertajuk Dua Lipa’s At Your Service.
Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Solo itu turut mendedahkan kasut tumit tinggi yang dipakai membuatkan kakinya tidak selesa sehingga mengganggu persembahan.
“Ada orang sangat hebat (menari) dengan kasut tumit tinggi. Tapi saya tidak.
“Kadangkala saya rasa semuanya berada dalam keadaan baik termasuklah tubuh saya.
“Namun semasa travel, kaki saya mengembang dan sangat sukar untuk menari sambil mengenakan kasut tumit tinggi. Stamina saya terus jatuh,” tambahnya.
Tegas Jennie, dia sedang belajar untuk mengenali dan memahami tentang kesihatan tubuh badannya sejak tahun 2020 lagi.
“Saya belajar untuk menjaga badan dan kesihatan diri termasuklah bagaimana otot saya berfungsi dan tahap lenturan tangan saya.
“Saya bukan mahu membersihkan nama , tapi saya mahu berkongsi dengan peminat bahawa sampai hari ini saya masih belajar mengenai diri saya sendiri,” katanya.