‘DAP tiada agenda mahu hapus ketuanan Melayu’

‘DAP tiada agenda mahu hapus ketuanan Melayu’

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP tidak pernah mempunyai dasar atau agenda perkauman Cina dan mahu menghapuskan ketuanan Me­layu seperti yang didakwa Pre­siden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini dapat dilihat daripada dasar-dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, apa yang menghairankan ialah Pas secara tiba-tiba melaungkan perjuangan Melayu sedangkan perkara itu pernah dianggap sebagai asabiyah dan jahiliah.

“Saya harap Presiden Pas supaya lebih logik dan konsisten dalam hal ini. Sebab itu saya minta dia jelaskan kenyataan dia pada 1986 yang berjanji untuk melihat peruntukan me­ngenai kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan dihapuskan.

“Beliau pernah bangkitkan perkara itu untuk dapat soko­ngan, waktu itu dia kata Perlembagaan ini taghut dan sekular.

“Dan Pas juga perlu menjelaskan sejak bila parti itu memperjuangkan ketuanan Melayu yang pernah mereka anggap asabiah dan jahiliah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi mempersoalkan ke mana pergi ketuanan Islam yang Pas perjuangkan pada satu ketika.

Menurutnya, itu semua me­nunjukkan Pas tidak konsisten dan hanya berminat untuk meraih undi.

“Apa pun DAP tidak pernah melakukan apa yang Hadi tuduh itu, buktinya tidak ada dasar sedemikian di Pulau Pinang,” katanya.

Baru-baru ini, media me­laporkan Abdul Hadi menyerang DAP dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina dan mahu menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Abdul Hadi turut mendakwa, DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menumpang pengaruhnya untuk menang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×