IPOH: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah methamphetamine seberat 72.5 kilogram (kg) bernilai RM2,537,290 dalam serbuan berasingan di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan pertama ke atas lelaki berusia 25 dan 36 tahun itu dijalankan di kawasan Klebang Tropika pada pukul 5 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta telah menjumpai bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggara berat 72,494 gram.
“Susulan tangkapan itu, kita telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Rapat dan menahan dua lagi lelaki berusia 30 dan 40.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua lelaki itu mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Berdasarkan hasil semakan, kesemua suspek didapati memiliki rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, kumpulan itu mulai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal Mei lalu di mana dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan.
Katanya, dianggarkan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 145,000 penagih dadah.
“Tndakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan dua buah kereta, sebuah motosikal, seutas rantai dan sepasang subang berwarna kuning keemasan dengan nilai sitaan berjumlah RM74,267.
“Empat suspek yang dua daripada tidak bekerja manakala seorang pemandu lori dan pengawal keselamatan direman tujuh hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










