KUALA LUMPUR: Penyanyi, Cat Farish bakal melangsungkan perkahwinan dengan kakak kepada pelakon Emma Maembong, Shikin pada 13 Julai depan.
Berita gembira itu dikongsikan Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli semalam menerusi perbualan telefon.
Menurut Cat, persediaan menjelang hari bahagianya setakat ini berjalan lancar dengan kedua pasangan telah menerima restu dari orang tua masing-masing.
“Prosesnya tidaklah terburu-buru, malah mengambil masa yang agak lama untuk saling kenal hati budi dan keluarga masing-masing.
“Untuk melepaskan melepaskan anak (perempuan) bukan satu perkara yang mudah, saya faham perkara itu” katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan di Asiana Grand Hall, Setapak dekat sini.
Menurut Cat lagi, keputusan untuk mempercepatkan perkahwinan didorong beberapa faktor termasuk usia kedua pasangan yang semakin meningkat.
“Pada awalnya kami tidak rancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. Namun selepas dua tiga tahun bercinta, baru kami putuskan memandangkan umur masing-masing pun sudah meningkat.
“Saya mahu anak-anak saya kenal ibu tiri mereka sekarang, dalam keadaan saya dan Shikin masih berdaya untuk kendalikan apa juga situasi,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Cat juga memberitahu sikap sabar yang dimiliki Shikin membuatkan dia memutuskan untuk memperisterikan wanita berusia 40 tahun itu.
“Kami kongsi banyak persamaan, kuat bekerja dan memiliki kesabaran yang tinggi.
“Saya anggap perkahwinan ini sebagai rezeki yang datang selepas kami sama-sama mengalami kerugian ketika berniaga sempena bulan Ramadan lepas.
“Susah payah yang diharungi bersama menjadikan kami semakin rapat. Saya harap perkahwinan kami nanti berjalan lancar dan dipermudahkan,” ujarnya.