Penggunaan barangan terpakai atau preloved kini menjadi pilihan ramai pemilik kediaman untuk mencipta ruang mewah tanpa perlu berbelanja besar.
Bagi Muhammad Yusri Yusof, barangan terpakai mempunyai nilai estetika tersendiri yang sukar dicari pada perabot baharu di pasaran.
Beliau yang juga pemilik akaun TikTok @yusathome berkata, kebanyakan koleksi uniknya diperoleh melalui platform Facebook Marketplace dan Carousell.
“Saya gemarkan barangan terpakai kerana selain harganya yang berbaloi, ia selalunya mempunyai nilai estetik tersendiri.
“Proses menghias dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan,” katanya.

Menurut Muhammad Yusri, pemilihan konsep yang berani dan berwarna-warni di kediamannya merupakan satu bentuk kepuasan visual yang maksimum.
Dia enggan terikut-ikut dengan trend minimalis atau neutral kerana percaya setiap individu mempunyai identiti seni berbeza.
Warna dianggap sebagai elemen yang memberikan jiwa kepada sesebuah ruang selain menjadi terjemahan kepada karakter peribadinya yang ceria serta positif.
Dia yang sudah tiga tahun menetap di situ memberitahu, hiasan dalaman dilakukan untuk kegembiraan diri supaya ada rasa tenang setiap kali melangkah masuk ke rumah selepas bekerja.
Antara barangan yang paling bermakna di kediamannya ialah rak Byakorre IKEA yang disifatkan sebagai pentas utama untuk menyusun dekorasi kegemaran.
Rak tersebut membolehkannya berkarya mengikut kesesuaian mata memandang dan ia merupakan sudut yang paling kerap berubah wajah di dalam rumah berkenaan.
Bagi mengelakkan kediaman kelihatan kaku seperti bilik pameran, dia mengutamakan perabot fleksibel dan mudah dialih mengikut mood semasa.

Aspek kegunaan harian juga tidak diketepikan bagi memastikan setiap barangan dekorasi yang dibeli mempunyai kegunaan harian praktikal bagi penghuninya.
Muhammad Yusri turut berkongsi rahsia rumah kekal sempurna dan ia terletak pada komitmen serta kerajinan pemiliknya dalam menyusun atur.
Katanya, rumah cantik memerlukan rutin mengemas secara menyeluruh sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan konsep asal dekorasi tetap bertahan lama.
Dia sekali gus menyarankan pemilik rumah agar tidak terburu-buru dan mula menghias mengikut bajet kecil terlebih dahulu mengikut kemampuan masing-masing.
“Jika bajet terhad, hias dengan cara bajet kecil dan jika ada lebihan pada masa akan datang, barulah melabur lebih sedikit untuk barangan lain.
“Paling penting adalah hasil akhirnya yang memuaskan hati pemilik dan ruang tersebut kekal dinamik serta selesa untuk didiami setiap hari,” katanya.
Mencari inspirasi juga tidak sukar kerana dia banyak merujuk platform media sosial seperti Pinterest, TikTok, dan Instagram sebelum mengadaptasinya mengikut kesesuaian ruang.










