KOTA KINABALU: Pilihan raya di enam negeri mampu menjadi ruang terbaik untuk membuktikan amalan rasuah dan membeli undi berjaya dinoktahkan.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, langkah itu akan menjadi bukti kepada komitmen dan kesungguhan kerajaan perpaduan dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.
Beliau berkata, rakyat perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri pada 12 Ogos ini untuk memilih pemimpin yang berintegriti dan telus untuk memimpin dan bukannya memilih pemimpin disebabkan rasuah mahupun politik wang.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjadikan pilihan raya di enam negeri kali ini sebagai medan terbaik untuk menangani amalan rasuah.
“Tidak dinafikan setiap kali pilihan raya, kita mendengar banyak cerita-cerita berlaku amalan politik wang.
“Oleh itu, saya percaya PRN di enam negeri ini adalah ruang terbaik untuk membuktikan amalan rasuah dan membeli undi dapat dinoktahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Felix berkata, SPRM juga seharusnya komited dan terus memantau sebaiknya dalam mencegah amalan rasuah daripada berleluasa terutamanya sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, amalan rasuah semasa pilihan raya bukan hanya mampu memusnahkan negara tetapi juga merugikan rakyat dan membawa keburukan dalam tempoh masa panjang. –UTUSAN










