Jurang jantina: Pendidikan tak jamin ekonomi sama rata

Jurang jantina: Pendidikan tak jamin ekonomi sama rata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATISTIK pendidikan menunjukkan wanita Malaysia telah lama mengatasi lelaki di menara gading, namun pencapaian akademik yang cemerlang ini masih belum diterjemahkan kepada pulangan ekonomi yang setara dalam pasaran buruh.

Dalam konteks ini, jurang jantina tidak lagi boleh dilihat sekadar soal penyertaan, tetapi sejauh mana struktur ganjaran dan peluang dalam institusi mampu memberikan agihan yang adil kepada wanita yang kini mendominasi sektor profesional.

Kajian terbaharu menunjukkan wujudnya satu ‘ilusi kesaksamaan’. 

Apabila wanita dilihat semakin ramai dalam pasaran kerja, masyarakat cenderung berfikir bahawa isu jantina telah selesai. 

Namun, hakikatnya, terma dan pulangan daripada penyertaan tersebut masih tidak seimbang.

Bagi golongan profesional, wanita kini merangkumi hampir 50 peratus daripada tenaga kerja. 

Walau bagaimanapun, kehadiran fizikal ini tidak menutup jurang gaji jantina yang kekal pada purata 15 peratus sepanjang sedekad lalu, bermakna wanita hanya memperoleh sekitar 85 sen bagi setiap RM1 yang diterima lelaki.

Justeru, nilai sebenar dasar jantina bukan sekadar pada peningkatan jumlah wanita di pejabat, tetapi pada keupayaannya merombak struktur ganjaran agar pendidikan tinggi benar-benar membuahkan hasil ekonomi yang proporsional.

Apabila struktur menghalang kenaikan

Bagi ramai wanita, faktor beban kerja penjagaan yang tidak berbayar di rumah terus memberi kesan kepada trajektori kerjaya mereka di pejabat.

Ia di mana, struktur kerja tradisional yang tegar menekan mereka yang mempunyai tanggungjawab domestik. 

Kesannya bukan sekadar pada slip gaji harian, tetapi turut bersifat strategik. 

Ramai wanita profesional tersangkut di peringkat pertengahan kerjaya, mewujudkan situasi di mana wanita hebat di peringkat ijazah, namun hanya merangkumi sekitar 27 peratus dalam jawatan pengurusan tertinggi.

Sebagai pemerhati ekonomi, data menunjukkan bahawa pendidikan tinggi berfungsi sebagai ‘tiket masuk’ ke pasaran kerja, tetapi ia tidak secara automatik meruntuhkan ‘siling kaca’ yang menghalang akses kepada jawatan pemutus kuasa.

Oleh itu, kita perlu mengubah naratif. 

Ketiadaan wanita di peringkat atasan bukan disebabkan kekurangan kemahiran, sebaliknya disebabkan oleh sistem ganjaran yang lebih memihak kepada model pekerja yang tidak mempunyai komitmen penjagaan keluarga.

Apabila dasar syarikat tidak mengambil kira keperluan fleksibiliti, organisasi kehilangan bakat terbaik yang sepatutnya mampu memacu pertumbuhan korporat dengan lebih inklusif.

Pengiktirafan perlu disokong agihan adil

Akses kepada pekerjaan melalui pemerkasaan kemahiran sememangnya penting, namun ia tidak mencukupi jika struktur institusi kekal statik.

Ekosistem korporat perlu beralih daripada sekadar memberikan pengiktirafan kepada usaha pembahagian semula peluang. 

Ini merangkumi ketelusan gaji, sistem kenaikan pangkat yang bebas bias jantina, serta penyediaan infrastruktur sokongan seperti pengaturan kerja fleksibel.

Apabila organisasi bertambah kompleks, keterangkuman jantina menjadi faktor kritikal bagi daya tahan ekonomi. 

Syarikat yang melabur dalam budaya kerja inklusif bukan sahaja mematuhi standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), malah menarik dan mengekalkan bakat produktif.

Impak ekonomi yang lebih luas

Nilai jangka panjang pe­merkasaan wanita melangkaui soal keadilan sosial. 

Integrasi wanita yang lebih bermakna dalam ekonomi meningkatkan produktiviti nasional dan merangsang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Apabila jantina tidak lagi menjadi kekangan struktur dalam kenaikan pangkat dan penentuan gaji, persaingan akan beralih sepenuhnya kepada merit dan kualiti. 

Bagi pelabur dan pemimpin korporat, ini bermaksud asas bakat domestik yang lebih luas dan berkeupayaan.

Pelaburan dalam pendidikan wanita sememangnya besar. Namun, pulangan yang paling bermakna terletak pada sistem ekonomi yang menghargai sumbangan mereka secara setara.

 

Penulis adalah Penyelidik di PNB Research Institute (PNBRI).UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×