Bekas penyandang PKR Pulau Pinang 'gentleman', bantu kempen calon baharu - Utusan Malaysia

Bekas penyandang PKR Pulau Pinang ‘gentleman’, bantu kempen calon baharu

LAW Choo Kiang (tengah) bersama calon-calon PKR yang bakal bertanding pada PRN Ke-15 Pulau Pinang serta penyandang PKR di Wisma PKR Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Bekas-bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR di Pulau Pinang bersikap ‘gentleman’ dan bersedia membantu kempen calon-calon baharu yang diketengahkan parti itu bagi memastikan kemenangan PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah, Penasihat PKR negeri, Datuk Law Choo Kiang berkata, bekas-bekas penyandang kerusi berkenaan juga telah menyerahkan bilik gerakan serta jentera masing-masing kepada calon baharu yang telah ditetapkan oleh parti.

”Bekas penyandang PKR cukup gentleman, ini semangat yang ada di dalam PKR. Mereka (penyandang) akan turun kempen, malah telah kumpul dana untuk calon baharu, mereka telah beri jentera, bagi orang-orang mereka kepada calon baharu.

”Mereka sebelum ini tidak tahu tidak dicalonkan dan telah buat kerja serta telah bersiap sedia, namun parti telah buat keputusan dan mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan calon baharu,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Keadilan, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah bekas-bekas penyandang yang digugurkan daripada bertanding antaranya Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Hussain.

PKR yang bertanding 13 kerusi DUN mengugurkan tujuh penyandang di Pulau Pinang daripada bertanding pada PRN kali ini.

PKR turut menampilkan lapan muka baharu yang iaitu Zainuddin Mohd. (Pinang Tunggal); Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar); Johari Kassim (Seberang Jaya); Rohsidi Hussin (Penanti); Norhidayah Che Ros (Sungai Bakap); Lee Boon Heung (Kebun Bunga); Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof. Dr. Mohd Abdul Hamid (Batu Maung).

Menurut Choo Kiang, dalam perjumpaan calon-calon baharu bersama bekas penyandang hari ini, mereka turut memberikan pandangan, rahsia kemenangan di DUN dan pengalaman masing-masing kepada calon baharu.

”Semua calon PKR mendapat sokongan padu daripada bekas penyandang parti, parti komponen dan parti PKR sendiri.

”Semua kita dapat melihat satu pasukan PKR turun dalam PRN kali ini bagi memastikan PKR menang di kerusi DUN yang ditandingi,” katanya.

Dalam pada itu, bekas penyandang DUN Pinang Tunggal, Ahmad Zakiyuddin berkata, beliau memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada semua calon-calon PKR termasuk calon baharu di DUN Pinang Tunggal.

Selain Ahmad Zakiyuddin, Abdul Halim turut menyatakan kesediaan beliau bagi membantu calon-calon baharu PKR untuk menang dalam PRN kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya