Banglo besar di Sik bukan milik Sanusi

Banglo besar di Sik bukan milik Sanusi

GAMBAR banglo milik abang kepada Muhammad Sanusi Md. Nor yang dibina di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan sebuah banglo yang dibina di Sik, dekat sini adalah milik  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan, kediaman tersebut sebenarnya milik abang kepada Muhammad Sanusi yang dibina hasil titik peluhnya setelah bekerja sebagai penyelam dasar laut selama berpuluh tahun.

“Foto sebuah banglo lengkap dengan imej google map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan Menteri Besar hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu miliknya sedang ditularkan oleh para pemfitnah. Ia tidak benar dan semata-mata fitnah. 

“Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai agar percaya Muhammad Sanusi kini hidup kaya-raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

“Rumah itu bukan milik beliau. Tidak ada wangnya diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap, ada pula orang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, abang Muhammad Sanusi juga bukan orang politik apatah lagi ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya dan tidak wajar beliau dijadikan mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram.

“Apa salah beliau kepada kalian hingga tidak berkira-kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalian tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu. Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan Menteri Besar.

“Adakah kerana dia abang Muhammad Sanusi, dia hilang hak untuk bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu. Orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah Budin (abang Sanusi), bukan rumah Sanusi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN