KUALA LUMPUR: Menyesal dengan tindakan memuat naik kenyataan berbaur fitnah mengenai Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, individu yang dikenali sebagai Zulhairy, tampil bertemu dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelawak tersebut.
Menurut Zulhairy, kenyataan yang dikongsikan tempoh hari telah diambil daripada posting seorang individu lain yang berbuat demikian di media sosial sebelum itu.
Bagaimanapun, kata Zulhairy, dia mengakui khilafnya kerana tidak berfikir panjang sebelum melakukan tindakan itu yang memberi impak kepada kehidupan Shuib serta keluarganya.
“Saya tak pernah buat posting begitu sebelum ini. Terus terang, saya ambil kenyataan itu daripada komen seorang individu iaitu John Dihani. Selepas saya tengok ramai yang komen dan kongsikan semula kenyataan itu di media sosial masing-masing, saya terus padamkannya termasuk tutup akaun Facebook.
“Saya tutup akaun kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Kalau boleh rasa tak nak ada Facebook. Kemudian saya cuba cari nombor telefon Shuib dengan bertanya kepada beberapa orang.
“Tapi dalam masa sama, Shuib telah terlebih dahulu menghubungi saya sebelum mengajak untuk bertemu,”katanya.
Zulhairy berkata demikian semasa ditemui pada sidang media bersama Shuib yang diadakan di sini, hari ini.
Pada sesi berkenaan, Zulhairy juga telah memohon maaf secara terbuka kepada Shuib dan keluarga.
Sementara itu, berkongsi lanjut, pemuda berusia 35 tahun itu berkata, dia secara peribadi tidak pernah mengenali pelawak tersebut termasuk arwah Siti Sarah.
Bagaimanapun, Zulhairy tersentuh hati dan bersyukur kerana pelawak tersebut sudi memaafkan dirinya meskipun mengakui apa yang telah dimuat naik di media sosial tersebut adalah satu perkara yang melampau.
“Saya tak sangka dia akan maafkan. Kalau dibaca semula, memang apa yang ditulis itu adalah ayat-ayat yang kejam. Saya pula muat naik kenyatan itu kerana terdorong dengan perasaan ingin tahu.
“Apakah benar Shuib dan arwah terkait dengan organisasi Freemason? Saya pula cuma ambil dari kenyataan orang lain tanpa berfikir panjang apa akibatnya.
“Bila dah jadi begini, saya akui memang menyesal sangat. Benda begini boleh memberi impak kepada banyak aspek. Selepas ini saya dah tak mahu buat lagi,”katanya.
Awal pagi semalam,Shuib meluahkan rasa berang dengan tuduhan melampau seorang individu di laman sosial selain bertegas mahu mencari individu terbabit sampai ke lubang cacing demi mendapatkan keadilan.
Malah, Shuib memaklumkan akan menggunakan saluran undang-undang terhadap penfitnah yang menuduh Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.
Dalam tulisan itu, individu tersebut turut mendakwa Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.