Anak bimbang, tak benar mangsa samun tinggal sendirian

Anak bimbang, tak benar mangsa samun tinggal sendirian

RAHMAH Mohd. Johan menunjukkan luka dialami selepas disamun di rumahnya di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Wanita mangsa samun di Felda Air Tawar 4 di sini kini tinggal sementara waktu bersama anaknya susulan kejadian dilibas parang sehingga cedera oleh lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya, Ahad lalu.

Rahmah Mohd. Johan, 60, mengakui keadaan lukanya semakin baik dan kini berehat di rumah anaknya di Taman Kota Jaya, di sini.

“Anak-anak tidak berani membenarkan saya tinggal di rumah buat sementara waktu kerana mereka bimbang. Memang masih terkejut tetapi saya tidaklah trauma sehingga tidak mahu pulang ke rumah.

“Saya memang biasa menetap sendirian di rumah jika anak di tingkatan enam keluar bersekolah. Buat sementara waktu, anak ajak tinggal bersama kerana anak tingkatan enam tinggal bersama abangnya di Felda Air Tawar 5,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, ketika kejadian dia sedang tidur selepas makan ubat kerana kurang sihat dan hanya menyedari kehadiran suspek selepas terjatuh di lantai dengan mulutnya ditekup dan lehernya diacu parang.

“Masa itu lelaki itu beritahu hanya hendak barang, iaitu gelang emas saya. Katanya hendak balik ke Indonesia emaknya sakit tapi tiada duit. Namun aneh percakapannya tidak bunyi seperti orang Indonesia. Akibat meronta-ronta dan cuba melawan, saya terkena parang yang diacu lelaki itu namun ketika itu saya tidak perasan alami luka.

“Selepas merentap gelang tangan dia terus lari, saya pula bangun minta pertolongan jiran ketika itu barulah sedar ada darah banyak di baju dan luka di dagu. Lelaki itu ambil seutas gelang meskipun terdapat cincin dan seutas lagi gelang di tangan sebelah,” katanya.

Katanya, anak-anaknya sering menasihati supaya menyimpan barang kemas yang ada dan tidak memakainya kerana bimbang ada orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Saya pakai barang kemas itu sebab Hari Raya Aidiladha. Jadi, belum sempat tanggalkan, memang tidak sangka namun semuanya telah berlaku dan saya menasihati rakan-rakan agar tidak keterlaluan memakai barang kemas terutamanya ketika keluar rumah.

“Sentiasa kunci pintu ketika berada di rumah. Akibat kejadian ini saya terima lima jahitan di dagu sepanjang empat sentimeter,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM3,000 dalam kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN