Allah tidak pernah tidur - Faisal Halim

Allah tidak pernah tidur – Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Allah tidak pernah tidur”.

Itu reaksi bintang Selangor FC, Faisal Halim di Instagram bersama emoji menadah doa sebaik sahaja dia disahkan digantung sebulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan malam tadi mengesahkan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey dikenakan hukuman penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada Selasa.

“Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.

“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.

“Bagaimanapun Faisal hanya dikenakan penggantungan sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.

“Untuk makluman semua, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan salah satu Badan Kehakiman FAM iaitu sebuah badan bebas yang terdiri daripada antara lain individu-individu berlatarbelakangkan profesion pengamal undang-undang sebagai ahli-ahli jawatankuasanya,” katanya.

KENYATAAN Faisal Halim yang dipercayai telah membawa kepada penggantungannya.

Bagaimanapun, bagi satu lagi kes iaitu membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.

Surat rasmi mengenai pemakluman keputusan kes-kes tersebut telah pun dihantar kepada Selangor FC semalam.

“Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Pada kesempatan ini juga, FAM ingin menasihatkan kepada pemain-pemain bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media dan mengambil pengajaran daripada kes ini,” kata Noor Azman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN