500 kecewa bayar ansuran rumah terbengkalai

500 kecewa bayar ansuran rumah terbengkalai

Antara pembeli projek perumahan Selangorku meninjau kediaman mereka yang tertangguh sejak tiga tahun lalu di Morib, Banting. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kira-kira 500 pembeli kediaman projek perumahan Rumah Selangorku bagi golongan B40 di Morib dekat sini buntu selepas rumah dibeli mereka yang sepatutnya siap pada 2020 masih belum boleh diduduki.

Lebih malang, rata-rata pembeli dikatakan sudah pun mula membuat bayaran ansuran pinjaman sekitar RM1,000 hingga RM1,500 kepada bank sejak 2019, namun perumahan jenis apartment setinggi 17 tingkat itu belum siap dibina.

Malah, sebahagian mereka mendakwa diperlakukan seperti ‘bola’ apabila cubaan membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mendapat perhatian.

Salah seorang pembeli rumah tersebut, Idayu Shah Haibi, 37, berkata, lebih mengecewakan apabila mereka mengetahui apartment dengan 220 unit kediaman itu dikategorikan sebagai projek sakit.
“Apartment tersebut sepatutnya siap tiga tahun lalu namun ditangguhkan de­ngan alasan akibat pandemik Covid-19 dan kekurangan tenaga kerja. Sebagai pembeli, kami tidak mahu mendengar alasan tetapi mahu rumah siap sebab ansuran sudah dibayar kepada bank.

“Ramai tahu kalau ‘Rumah Selangorku’ adalah rumah mampu milik namun kami terasa seperti ditipu sehingga ada yang trauma dengan keadaan sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek perumahan tersebut.

Tambahnya, kerajaan negeri dan pemaju perlu lebih peka dan tidak lepas tangan, malah Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) juga digesa bertindak sekiranya wujud salah guna kuasa dan kelemahan tadbir urus dalam projek itu.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Nor Faizah Abd. Rashid, 33, turut meluahkan kekecewaannya apabila dibe­ritahu projek tersebut yang dijadualkan semula hanya akan siap pada hujung tahun ini.

“Tengok sekarang, tiada kerja-kerja pembinaan pun sedang berjalan. Kami bayar pinjaman dengan berdepan lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), rasa seperti dianiaya. Gaji saya cuma RM2,500,” luahnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mo­rib, Hasnul Baharuddin memaklumkan, terdapat empat projek perumahan yang melibatkan sebanyak 555 unit kediaman di lokasi berkenaan termasuk tiga projek rumah teres setingkat dan satu apartment.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya