332 terima manfaat Skim Bantuan Khas Yakeb sehingga Jun - Utusan Malaysia

332 terima manfaat Skim Bantuan Khas Yakeb sehingga Jun

NOORUL Ariffin Abdul Majeed (kanan) bersama dua waris ahli Yakeb yang menerima bantuan khairat kematian iaitu Sabrina Safarrudin (dua dari kanan) dan Siti Zaleha Othman (tengah) di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seramai 332 individu menerima manfaat Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan nilai keseluruhan berjumlah RM270,739.55.

Presiden Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, daripada jumlah itu, 11 daripadanya melibatkan bantuan untuk khairat kematian ahli serta pasangan mereka yang berjumlah RM28,000.

Beliau berkata, manfaat rawatan perubatan juga diberikan kepada ahli yang berdepan penyakit kritikal iaitu melibatkan seorang ahli dengan peruntukan sebanyak RM17,000 selain rawatan perubatan hospital kepada 257 ahli berjumlah RM117,334.35.

“Seramai 10 ahli turut menerima bantuan alat sokongan perubatan bernilai RM35,655.20; sembilan ahli menerima bantuan bencana alam (RM4,500); tiga bantuan melangsungkan perkahwinan (RM750) dan 35 ahli lagi menerima bantuan kewangan yang dianggarkan bernilai RM63,000.

“Pada masa sama, Yakeb turut menyalurkan bantuan pelajaran di peringkat sijil, diploma dan ijazah kepada enam anak ahli dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM4,500,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan khairat kematian untuk waris dua bekas atlet negara iaitu Allahyarham Safarrudin Mohd. Zain dalam sukan berbasikal serta Allahyarham Rahim Mohamad (bola sepak) di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Bantuan tersebut disampaikan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Amar Afiq Harun.

Dalam pada itu, anak Safarrudin, Sabrina, 42, berterima kasih kepada Yakeb atas sumbangan yang diberikan.

“Semoga dengan sumbangan ini, kami boleh meneruskan amal jariah untuk arwah bapa,” katanya.

Sementara itu, bantuan untuk khairat kematian seorang lagi ahli Yakeb iaitu Rahim diterima isterinya, Siti Zaleha Othman, 60. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya