Warlord UMNO sertai PN hanya persepsi

Warlord UMNO sertai PN hanya persepsi

MAHDZIR Khalid bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Isu nama-nama besar atau ‘warlord’ UMNO yang kononnya akan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi hanyalah permainan persepsi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, spekulasi dan propaganda yang dilakukan pihak-pihak tertentu itu hanya untuk meraih sokongan daripada rakyat pada pilihan raya tersebut.

Malah, ujar beliau, tindakan mana-mana pemimpin atau individu yang mengambil keputusan menyertai parti lain tidak hanya melibatkan UMNO sahaja.

“Pada saya bertukar parti bukan sesuatu yang boleh dikira (akan berlaku), seperti kononnya 10 warlord akan pergi ke PN, ini semua persepsi. Tidak payah (kita) gunakan persepsi itu (untuk meraih sokongan).

“Sememangnya dalam PRN ini, pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan PN, kedudukannya sangat jelas. Rakyat akan pilih BN-PH atau PN, jadi propaganda, persepsi pada waktu ini akan diwujudkan, macam-macam isu hendak dilakukan untuk meraih sokongan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan PN akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ atau warlord UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Namun, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan tiga ‘warlord’ UMNO dari negeri itu dijangka menyertai PN sebagai khabar angin dan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan.

Tambah Mahdzir, UMNO Kedah juga tidak menerima maklumat mengenai pemimpin parti itu di negeri ini akan bertukar ke parti lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, senarai calon parti berkenaan yang akan ditampilkan dalam PRN bagi mewakil BN dijangka merangkumi calon muka baharu, wanita dan ‘muka lama’.

Katanya, setiap DUN yang diwakili BN akan diberikan tiga nama calon bagi setiap kerusi tersebut sebelum melalui proses penilaian dan keputusan akhir dibuat oleh pucuk pimpinan menjelang proses penamaan calon.

“Senarai nama itu belum penuh (lengkap) lagi dan perincian mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi kerana dua kerusi yang belum selesai (diagihkan antara BN-PH Kedah) sebelum ini juga belum selesai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×