Pemindahan gajah liar di Perlop 1 bergantung keadaan muka bumi - Utusan Malaysia

Pemindahan gajah liar di Perlop 1 bergantung keadaan muka bumi

WAN Shaharuddin Wan Nordin (kiri) bersama Mohd. Zolkafly Harun (dua dari kiri) menyantuni penduduk Kampung Perlop 1, Sungai Siput yang terjejas akibat serangan gajah liar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Usaha memindahkan gajah liar yang mengancam keselamatan penduduk dan memusnahkan tanaman kelapa sawit di Kampung Perlop 1, bergantung kepada keadaan muka bumi dan tahap kesesuaian kawasan berkenaan untuk operasi penangkapan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, penangkapan akan dilakukan sekiranya lokasi haiwan berkenaan sesuai dimasuki lori dan jentera yang diperlukan bagi operasi tersebut.

Katanya, jika keadaan tidak mengizinkan, kaedah tembak halau atau penggunaan dron penghalau akan dipertimbangkan, terutama apabila keadaan muka bumi berbukit-bukau yang menyukarkan akses kenderaan ke lokasi gajah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita dapat menangkap gajah itu dan keadaan muka bumi sesuai untuk lori masuk, kita akan laksanakan penangkapan.

“Jika kawasan itu terlalu berbukit, lori tidak dapat masuk atau lokasi gajah terlalu jauh dan sukar diakses, kita akan gunakan kaedah tembak halau atau dron penghalau,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Perlop 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Menurut beliau, gajah yang dikesan berkeliaran di Kampung Perlop 1 merupakan kumpulan ID Piah iaitu kumpulan sama yang pernah dikesan hingga ke Bukit Bangkong, Chemor.

Beliau berkata, pihaknya akan menjejaki pergerakan gajah berkenaan menggunakan dron selepas tindakan menghalau dilakukan bagi memastikan haiwan itu bergerak menjauhi kawasan penempatan penduduk.

“Apabila menerima aduan penduduk mengenai kehadiran gajah, kita akan datang dan melakukan tembak halau sebelum menggunakan dron untuk mengesan pergerakannya.

“Dengan dron thermal yang digunakan sekarang, kita dapat mengetahui kedudukan gajah itu termasuk pada waktu malam, sama ada masih berhampiran kampung atau sudah bergerak jauh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini