PETALING JAYA: Waris Haji Saad yang berasal dari Yaman dan menetap di Kedah menubuhkan Persatuan Famili AsSaadi (AsSaadi) sebagai satu usaha untuk menghubungkan silaturahim keluarga.
Persatuan yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Februari lalu itu juga sebagai inisiatif untuk memastikan salasilah dalam keturunan yang sama dapat kekal dari generasi ke generasi.
Jurucakap AsSaadi berkata, keturunan AsSaadi sebelum persatuan itu ditubuhkan sering mengadakan aktiviti pertemuan yang menghimpun waris-warisnya sejak 20 tahun lalu.
“Idea untuk menubuhkan persatuan ini dicetus oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Abdullah (bekas Pengerusi Utusan Melayu Berhad) dan Allahyarham Tan Sri Azahari Taib (bekas Speaker Dewan Negara) dengan Persatuan Keluarga AsSaadi di Kedah ditubuhkan pada tahun 2002.
“Baru-baru ini ditubuhkan pula Persatuan Famili AsSaadi bagi Lembah Klang dengan Presidennya ialah Ir. Fuad Abas yang merupakan Felow Penyelidik HADR Research Centre, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ,” katanya di sini baru-baru ini.
Ahli kehormat persatuan itu terdiri daripada Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. Datuk Ir. Guntor Tobeng.
Tujuan persatuan itu ditubuhkan adalah untuk mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli keluarga AsSaadi dan berjaya menyiapkan salasilah keluarga yang mengandungi 11 keturunan dengan tujuh rumpum iaitu Mohd Noor, Saad, Abdul Rahman, Salasiah, Ismail, Sofiah dan Arshad.
Menurut jurucakap itu, keluarga AsSaadi mendapat nama dari Haji Saad yang berasal dari Hadramaut, Yaman di sebuah kampung berdekatan pelabuhan yang bernama Al-Mukalla.
Wilayah itu terkenal dengan ulama-ulama Islam dan ahli sufi terkenal yang telah berhijrah keluar dari negara Yaman ke pelosok dunia.
Katanya, berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, Haji Saad bersama-sama dengan tiga lagi saudaranya telah mendarat di Kuala Sala, Kedah yang ketika itu adalah salah satu pelabuhan penting di utara Semenanjung, namun dua lagi saudaranya meneruskan perjalanan ke Singapura.
“Di Kedah, Haji Saad dikatakan telah berkahwin dengan warga tempatan dan salasilahnya itu terus dipelihara hingga ke hari ini melalui Persatuan Famili AsSaadi,” katanya.
Pada awal bulan ini, kira-kira hampir 200 ahli keluarga AsSaadi berkumpul di Kampus KWSP di Kajang untuk sesi ramah mesra bagi mengeratkan silaturahim sempena sambutan berhari raya.
Perjumpaan itu juga bertujuan melancarkan Persatuan Famili AsSaadi di Lembah Klang serta pendaftaran ahli-ahli baru. – UTUSAN










