PETALING JAYA: Seorang wanita yang baru tamat pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan ditemukan mati di kediamannya di Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu pada pukul 3.06 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan mendapati wanita warga Bangladesh berusia 34 tahun itu cuba dihubungi suaminya namun gagal.
“Soal siasat awal dilakukan mendapati mangsa bersama rakan-rakannya menghadiri majlis makan malam sebelum kejadian.
“Semasa majlis itu, wanita itu dilihat murung dan tidak seperti kebiasaannya,” katanya semalam.
Anbalagan berkata, rakan wanita itu memaklumkan mangsa tidak gembira untuk pulang ke kampung halamannya di Bangladesh.
“Ibu wanita itu sudah meninggal dunia dan hanya tinggal bapa dan suaminya yang berada di kampung halaman.
“Wanita itu dikatakan tidak gembira untuk pulang ke kampung berikutan masalah peribadi,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Setakat ini polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat dari Hospital Serdang.
“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN










