Warga asing dakwa rugi lebih RM20,000 - Utusan Malaysia

Warga asing dakwa rugi lebih RM20,000

SEORANG warga Indonesia yang ditemui pemberita ketika ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen dekat kawasan penempatan haram Pulau Meranti, di Sepang, Selangor. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang warga Indonesia mendakwa kerugian lebih RM20,000 akibat empat kali ditipu sindiket ejen berlainan bagi pengurusan permit pekerja.

Wanita berusia 51 tahun itu mendakwa sedemikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menjadi salah seorang tahanan dalam Operasi Pemeriksaan Jabatan Imigresen (Imigresen) Selangor di Pulau Meranti, awal pagi semalam.

Dakwanya, dia dan suami yang tinggal secara haram di atas sebidang tanah berhampiran pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu pernah didatangi beberapa individu yang dikatakan mahu membantu penduduk di situ menyelesaikan masalah permit dan pasport tamat tempoh.

Menurutnya, dia dan suami sudah menetap di negara ini kira-kira 20 tahun dan mempunyai seorang anak yang pernah bersekolah agama dekat sebuah sekolah di Kampung Permai, Puchong Perdana.

“Sejak 2008 lagi saya dan penduduk di kampung ini pernah didatangi ejen yang mendakwa hendak membantu menyelesaikan masalah permit. Mula-mula mereka minta bayar sehingga RM3,000, tetapi tak muncul.

“Kemudian pada 2013 dan 2016, ada lagi orang datang untuk selesaikan masalah sama, mereka minta sedikit demi sedikit, sampai RM6,500 dan RM10,000, tetapi tak juga selesai.

“Baru-baru ini datang lagi ejen, minta saya bayar RM1,000 untuk selesaikan masalah permit dan pasport, saya bayar tetapi senyap juga. Orang dekat sini memang banyak kali ditipu dengan ejen-ejen sedemikian,” katanya.

Terdahulu, wanita itu menjadi salah seorang daripada 22 tahanan yang dibawa keluar da­ripada penempatan haram dekat Pulau Meranti oleh Imigresen menerusi operasi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tinjauan pemberita dalam operasi tersebut mendapati terdapat lebih 30 buah rumah dibina dalam bentuk binaan sementara dan kekal berhampiran Jalan Kelompok 3, Kampung Pulau Meranti dan kawasan perindustrian di sana.

Dalam operasi selama sejam yang bermula pukul 2 pagi itu, sebahagian penduduk dilihat sempat meninggalkan kediaman, malah tindakan serbuan tersebut seolah-olah dapat dihidu lebih awal.

Pemerhatian terhadap kawasan tersebut juga mendapati, penempatan haram itu seperti bukan baharu dibina apabila terdapat pelbagai kebun sayur di sekelilingnya.

Selain kebun, penduduk turut mengusahakan ternakan kam­bing dan ayam, sekali gus menggambarkan mereka berjaya mewujudkan sumber ekonomi.

Dalam pada itu, tahanan sama yang ditemui memaklumkan, dia dan suami mengusahakan pertanian sejak tinggal di situ dengan membayar sewa RM600 kepada pemilik tapak.

“Cuma lakukan kerja-kerja kebun, tanam sayur. Macam-macam yang ditanam. Hasilnya cukup untuk kegunaan harian, bayar sewa dan dihantar kepada keluarga dan anak di kampung (Madura, Indonesia).

“Di kampung, saya ada anak berusia 10 tahun. Dulu sekolah di sini sampai darjah satu, kemudian berhenti dan saya hantar dia pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya