KOTA BHARU: Program Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, penganjuran program itu adalah atas inisiatif individu dan bukan anjuran kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk menghalang orang ramai termasuk anak-anak muda menunggang motosikal beramai-ramai selagi mereka mematuhi peraturan.
“Itu (konvoi) atas inisiatif masing-masing, inisiatif sendiri. Banyak budak-budak (golongan muda) main motosikal tetapi selagi mereka mematuhi peraturan dan sebagainya, kita nak kata apa?
“Sebab budak-budak (anak-anak muda), motosikal itu sememangnya kenderaan mereka,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Terapi Cara Kerja Kebangsaan 2026 (MOTNC 2026) di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa telah mengganggu kelancaran Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB.
Menurutnya, konvoi yang dianjurkan secara notis singkat itu menarik penyertaan lebih 500 penunggang, namun berdepan beberapa sekatan jalan raya sepanjang laluan.
Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah bekerjasama dengan polis trafik bagi mengadakan sekatan jalan raya serta memeriksa semua motosikal yang memasuki Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Lok Siew Fook berkata, arahan itu dibuat bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi LTSIP susulan tindakan beberapa ADUN Kelantan menganjurkan konvoi motosikal ke lokasi berkenaan. – UTUSAN










