PETALING JAYA: Walaupun UMNO memiliki 3.5 juta ahli, ia tidak memberi kelebihan kepada parti yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu akibat angkara dalaman segelintir bekas pemimpin sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, tidak ramai ahli UMNO yang menjadi orang parti sekali gus wujud dalam kalangan mereka tidak meletakkan parti sebagai keutamaan berbanding agenda peribadi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu kemudian memberi contoh tindakan segelintir bekas pemimpin UMNO Pahang yang menyertai parti lain kerana tidak dicalonkan telah menyebabkan parti hilang 100,000 pengundi dan lebih menyedihkan ia berlaku dalam kalangan ahli UMNO sendiri.
“Ada kawasan Parlimen tertentu boleh menang tetapi disebabkan tidak menjadi calon, pemimpin berkenaan sanggup keluar parti dan bertanding atas tiket parti lawan. Langkah itu turut menarik pengikut masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
Justeru itu Wan Rosdy meminta ahli UMNO termasuk pemimpin untuk meletakkan parti sebagai keutamaan kerana ia menjadi asas kesetiaan dalam parti sekalipun mempunyai jumlah ahli teramai dalam kalangan parti politik lain.
Katanya, berbanding parti lain mereka tidak mempunyai masalah itu dan akur dengan setia keputusan ditetapkan kepimpinan.
Jelasnya, pegangan tersebut perlu dijadikan agenda parti keramat ini dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air sebagai kepentingan utama bukannya untuk diri sendiri semata-mata.
“Kita mesti menjadi party man, yang mana kepentingan parti melebihi kepentingan sendiri. Bagi memastikan UMNO terus bangkit, kekuatan jiwa party man penting dalam merapatkan kembali saf kepimpinan terutamanya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.
Pada masa sama, Wan Rosdy berkata, sebarang masalah dalaman parti menyebabkan organisasi sukar bergerak ke hadapan. – UTUSAN










