PETALING JAYA: Tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh disalah gunakan untuk mengancam negara-negara berdaulat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berikutan ketiadaan mekanisme pengawasan dan kegagalan penimbang tara untuk mematuhi standard etika dan profesional yang tegas.
Beliau berkata, mekanisme pengawasan adalah penting untuk memastikan penimbang tara berpegang kepada standard etika yang ketat bagi mengelakkan sebarang kes penimbang tara ‘berat sebelah’ atau prasangka.
“Kes ini telah menimbulkan kebimbangan tentang tingkah laku etika, integriti, profesionalisme, dan amalan baik oleh golongan penimbang tara yang merupakan asas kepada proses timbang tara itu sendiri.
“Dalam kes Sulu, tiada elemen profesionalisme dan tingkah laku beretika yang mana proses timbang tara itu tidak dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat (penuntut dan Kerajaan Malaysia).
“(Malah), perintah award telah dikeluarkan secara tidak sah yang mana penimbang tara itu sudah dibatalkan pelantikannya oleh Mahkamah Sepanyol, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, lapan individu mendakwa sebagai kumpulan kesultanan Sulu membuat tuntutan USD15 bilion terhadap Malaysia.
Bagaimanapun, keputusan anugerah akhir didakwa dikeluarkan secara tidak sah oleh seorang penimbang tara Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa kepada kumpulan yang menuntut itu walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh mahkamah Sepanyol.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, satu kod etika yang tegas bagi penimbang tara akan dapat menghapuskan mana-mana penimbang tara palsu yang berupaya sehingga melumpuhkan sebuah negara berdaulat.
“Tiada negara berdaulat sepatutnya terperangkap oleh konspirator disebabkan oleh kegagalan penimbang tara yang gagal mematuhi standard etika yang ketat,” katanya.
Jelas Azalina, proses timbang tara pada hari ini juga terdedah kepada penyalahgunaan apabila proses itu sendiri boleh dipindahkan.
“Sebelum keputusan di Sepanyol diperoleh, penimbang tara dalam kes Sulu ini memindahkan kes timbang tara ke Paris. Penuntut kemudian berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan dari perintah itu di negara seperti Belanda dan Luxembourg.
“Kita boleh dapat buat kesimpulan, pihak yang membuat tuntutan boleh memindahkan proses ini ke negara-negara (yang mempunyai keanggotaan dalam Konvesyen New York 1958) mengikut pilihan mereka hingga dapat mencapai satu keputusan yang menguntungkan mereka.
“(Namun), bagi Malaysia, setiap ringgit dan sen serta sumber yang digunakan bagi mempertahan kedaulatan negara datang dari duit rakyat.
“Pada perspektif Malaysia, ini bukanlah pertikaian komersil tetapi satu tuntutan timbang tara palsu dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara ini,” jelasnya.
Beliau menambah, komuniti penimbang tara antarabangsa melalui Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang akan berlangsung pada 4 Julai ini di Sabah diharap dapat mengambil tindakan berkesan dan secara kolektif bagi mengekalkan kesucian proses serta amalan timbang tara.
Ujarnya, ia antara usaha untuk mengelakkan proses tersebut disalah guna.
“Mana-mana negara, sama ada kaya atau miskin, tidak seharusnya menjadi mangsa kepada timbang tara yang tidak berasas atau terperangkap melalui penyalahgunaan proses undang-undang, seperti dalam kes Sulu, yang dari awal lagi merupakan penyalahgunaan yang sistematik terhadap proses timbang tara.
“Sebagai ahli undang-undang dan bekas peguam, saya menyokong usaha pengukuhan sistem timbang tara global dan menggesa pengawalan pembiayaan litigasi terutamanya dari sudut ketelusan dan pendedahan mengenai dana diperolehi.
“Kerajaan Malaysia akan terus melaksanakan segala usaha bagi menamatkan tuntutan timbang tara Sulu yang turut menggunakan negara-negara lain bagi menguatkuasakan perintah award yang tidak sahih kerana kos pengendalian bagi perintah palsu ini akan memberi impak kewangan kepada Kerajaan Malaysia dan wang rakyat,” katanya. – UTUSAN









