Tubuh pasukan elit banteras scammer

Tubuh pasukan elit banteras scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pasukan Elit Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG) perlu diwujudkan semula sebagai satu unit khas bagi membanteras kegiatan scammer yang semakin ‘mengganas’ menipu berbilion ringgit duit rakyat.

Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang dibubarkan pada 2019 juga harus dikembalikan fungsinya bagi menggerunkan penjenayah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM), Datuk Mokhtar Mohd. Ghazali berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik bagi membanteras kegiatan scammer yang semakin bermaharajalela ketika ini.

Katanya, kerugian dialami mangsa bukan sahaja dalam bentuk ringgit malah membabitkan kecederaan minda dan fizikal rakyat.

“Setiap hari kita disiarkan berita ramai mangsa terpedaya dengan scammer di alam maya sama ada macau scam, love scam, skim cepat kaya, scam parcel dan scam tawaran pekerjaan tidak wujud.

“DPBFM memandang serius isu scammer ini kerana jika tidak dibendung secara tuntas, ia mewujudkan kelompok masyarakat yang hidup dalam tekanan sekali gus boleh menjejaskan produktiviti serta kualiti hidup rakyat negara ini,” katanya di sini semalam.

Mokhtar berkata, media cetak dan elektronik setiap hari melaporkan kes penipuan scammer ini yang bijak menjalankan taktik penipuan secara halus dan terancang oleh sindiket termasuk warganegara asing.

Justeru tegasnya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menubuhkan unit khas dengan keanggotaan lebih besar untuk membendung sindiket yang tiada perikemanusiaan itu

Ini kerana katanya, walaupun ada scammer yang ditangkap polis, rangkaian sindiket itu terus wujud dan bermaharajalela ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Saya ambil contoh kejadian di Ipoh, Perak pada Mei lalu membabitkan seorang pesara yang kerugian RM845,450 apabila terpedaya dengan penipuan panggilan telefon dari scammer yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

“Begitu juga seorang pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM500,000 gara-gara terpedaya dengan panggilan scam yang kononnya dari syarikat insurans,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN