Tingkat kerjasama strategik, manfaat pertumbuhan

Tingkat kerjasama strategik, manfaat pertumbuhan BIMP-EAGA-Mustapha

MUSTAPHA Sakmud (tengah) semasa perasmian persidangan dan pameran keselamatan dan kesihatan pekerjaan Borneo di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) perlu meningkatkan kerjasama strategik dengan menjadi peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Kepulauan Borneo.

Pendekatan sebegitu perlu dilakukan setelah mengambil kira perkembangan di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, langkah itu seiring dengan persediaan kerajaan dalam memanfaatkan usaha pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi melaksana projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.

“Peruntukan pembangunan sebanyak RM12.1 bilion untuk kedua-dua Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2023 membuktikan keprihatinan kerajaan perpaduan terhadap pembangunan ekonomi di rantau ini,” katanya semasa majlis perasmian persidangan dan pameran keselamatan dan kesihatan pekerjaan Borneo kali kelapan (BOSH 2023) di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan Indonesia juga telah merancang pelbagai projek mega pertanian dan hidroelektrik di Kalimantan yang pastinya akan membawa pertumbuhan baharu di wilayah BIMP-EAGA.

Justeru, kerajaan perlu memanfaatkan pertumbuhan baharu itu dengan meningkatkan pembangunan sumber manusia serta menjadi peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengurangkan risiko kemalangan berulang-alik di tempat kerja.

Mengenai BOSH 2023, persidangan bertemakan ‘Transformasi Borneo untuk masa depan lebih berdaya tahan’ itu memberi penekanan kepada ikhtiar secara holistik agar segala dasar berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan lebih bersifat manusiawi dan mengambil kira maklum balas rakyat.

“Peserta yang terlibat dalam persidangan sebegini akan turut membincangkan isu-isu kritikal masa kini seperti sistem sokongan kesihatan mental di tempat kerja serta cabaran yang dibawa oleh teknologi masa depan.

“Hasil perbincangan dan sesi forum yang dijalankan sepanjang persidangan ini sudah pasti mampu membantu kerajaan merangka polisi baharu atau menambah baik polisi sedia ada demi menjamin kesejahteraan majikan dan pekerja,” katanya.

Program selama dua hari itu disertai seramai 300 orang yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam dan luar negara. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN