The Boogeyman, dari enigma dongeng seram - Utusan Malaysia

The Boogeyman, dari enigma dongeng seram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Naskhah cerita seram legenda penulis Stephen King masih menjadi sorotan oleh para penerbit yang lahir dari setiap generasi.

Dia menulis cerita pendek The Boogeyman kali pertama pada 1979 untuk kolum majalah Cavalier. Ia kemudian dikutip dan dibukukan dalam koleksi cerita pendek bertajuk Night Shift pada 1978.

Rob Savage, pengarah asal British yang pernah menghasilkan beberapa naskhah seram sebelum ini mempersembahkan The Boogeyman dalam kerangka abad ke-21. Dia dibantu Scott Beck, Bryan Woods dan Mark Heyman sebagai penulis lakon layar.

The Boogeyman oleh Rob Savage membawa alur cerita dari kaca mata remaja Sadie Harper dan Sawyer. Masing-masing dilakonkan sangat cemerlang oleh Sophie Thatcher dan Vivien Lyra Blair.

Bapanya, Will merupakan seorang ahli terapi. Mereka bertiga hidup dalam kemurungan, kesedihan selepas isterinya meninggal akibat kemalangan jalan raya. Satu kejadian yang juga memicu segala misteri bermula sejak kehadiran seorang lelaki di rumah berkenaan.

Ketika itulah The Boogeyman, sebuah lembaga hitam tiba-tiba muncul. Seperti legendanya, The Boogeyman muncul di dalam almari dan di bawah katil. Dua tempat paling ditakuti kanak-kanak.

Walaupun premis filem ini mudah dan jalan ceritanya boleh diramal, namun The Boogeyman membahaskan ketakutan dengan lebih dalam.

Sepanjang cerita ini dimainkan, jika anda menilai dengan lebih teliti, kita akan dapat melihat ketakutan sebenar yang dibicarakan oleh Rob Savage adalah kegusaran seorang bapa. Ia lebih tragis, lebih mendera, lebih mencengkam hati seorang lelaki yang memendam kerinduannya sendiri.

Will menunjukkan kepada kita, walaupun dia seorang ahli terapi sekalipun, dia sesekali kalah dengan keraguannya bergelar seorang ayah. Pendek kata, seorang ahli terapi tetap juga seorang manusia.

ENIGMA DAN KETAKUTAN KISAH DONGENG

Walaupun The Boogeyman mungkin dipopularkan oleh Stephen King, namun cerita mengenai makhluk halus yang kononnya muncul sebagai bayang-bayang hitam merangkak di bawah katil sudah lama wujud. Boogeyman sudah mula kedengaran sejak akhir 1500-an.

Jika kita perhatikan, walaupun dipisah geografi, namun cerita hantu dan kosmologi mistik tetap wujud. Boogeyman mungkin dikenali sebagai Krampus, El Coco atau Baby Yaga di beberapa tempat. Di Asia Tenggara, mungkin Boogeyman adalah Pontianak, Phi Ton Mai, atau Ko man-tong.

Sejak kecil, mitos atau kisah dongeng tentang hantu wujud sebagai mekanisme untuk menundukkan kanak-kanak. Agar mereka dengar cakap dan duduk diam. Ketakutan secara tidak langsung menjadi cara pembelajaran tentang moraliti yang paling mudah.

Masing-masing membawa latar yang sama iaitu ketakutan kepada makhluk yang tidak dapat dilihat dari mata kasar.

Masing-masing bersembunyi dalam kegelapan kerana ‘gelap’ selalu memberikan sebuah enigma melahirkan perasaan sering diperhatikan. Itulah sedikit sebanyak keseraman yang tercerna daripada Boogeyman. Secara peribadi, sebuah penceritaan yang tidak banyak celanya namun pada masa sama, tidak banyak yang boleh dicanangkan.

Pernyataan kedua daripada perenggan di atas adalah kerana telah banyak cerita seram yang sepertinya terkandung DNA sama pernah direalisasikan sebelum ini. Mengapa? Perihal terbabit perlu diketahui sendiri dengan berkunjung ke pawagam berdekatan menjadi saksi adrenalin melonjak-lonjak disebabkan jump scare (elemen seram) yang dipaparkan dalam Boogeyman.

Sejujurnya, Boogeyman adalah sebuah naskhah bernuansakan seram atau hantu atau misteri yang penuh dengan kejutan namun juga diselitkan bersama isu kekeluargaan yang sangat diperlukan pada zaman sekarang.

Watak dimainkan pemain karakter utama iaitu si bapa dan dua anaknya, iaitu Sawyer dan Saddie menunjukkan betapa kasih sayang serta kepercayaan antara keluarga itu mengatasi segala kebobrokan dan kejahatan dalam dunia.

Kadang-kadang, apa yang kita percaya hanya diri kita sahaja faham sehinggalah orang lain menghadapi atau mengalami apa yang kita alami. Itulah barangkali korelasi yang terjalin atau tercetus antara Sawyer dan Saddie dan kemudian bapa mereka sendiri pada hujung harinya.

Sebuah kisah seram hanyalah menjadi filem yang membazir masa penonton jika tidak menyuakan apa-apa falsafah di dalamnya. Namun mujurlah, The Boogeyman sebuah filem seram ‘bertih jagung’ dengan klasifikasi umur 13 tahun setidaknya menawarkan sesuatu. Ia tidak terlalu seram, memadai untuk tontonan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya