PETALING JAYA: Identiti puteri kedua dalam pementasan semula Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang akhirnya terjawab apabila Mila Mohsin diumumkan bakal menggalas watak tersebut bersama Aisha Retno.
Menurut satu hantaran di Instagram, foto Mila Mohsin atau Hani Karmila Hani Mohsin, 29, dimuat naik dan diperkenalkan sebagai puteri kedua.
“Agar lagenda terus bernyawa, bukan sekadar lewat cerita, tapi melalui jiwa yang ditakdirkan untuk mewarisinya.
“Sejak kecil, dia telah membesar dengan dunia Puteri Gunung Ledang. Menyaksikan sendiri cinta, pengorbanan dan magis yang menjadikan kisah ini hidup di hati para pencintanya selama dua dekad.
“Dan kini, tibalah waktunya pula untuk melangkah ke dalam lagenda itu sendiri,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, julung kalinya Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang membawa dua orang puteri yang akan menghidupkan naskhah epik ini.
“Inilah salah satu puteri kami. Bukan sekadar mewarisi sebuah nama, tetapi membawa denyut rasa, darah dan jiwa yang telah lama menjadi bagian daripada dunia ini,” katanya.
Terdahulu, dua watak Bayan, Sultan Melaka, Gusti Adipati dan salah seorang watak puteri telah diumumkan yang akan digalaskan oleh Mimy Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz, Yusuf Hashim dan Aisha Retno.
Untuk rekod, pihak produksi telah memaklumkan dua orang puteri dan watak Hang Tuah pula akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pementasan semula Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Datin Seri Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 dan bakal menampilkan barisan pelakon generasi baharu bagi menghidupkan kembali kisah epik tersebut.









