SPM: Peminat Blackpink peroleh 9A+ - Utusan Malaysia

SPM: Peminat Blackpink peroleh 9A+

G. Bhuvenraj,18, merupakan antara calon SPM 2022 yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran diambilnya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2022 di Penang Free School, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang peminat tegar kumpulan Blackpink dan muzik K-pop, G. Bhuvenraj,18, tidak menyangka berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pelajar cemerlang aliran Sains dari Penang Free School itu berkata, dia mendengar muzik kumpulan Kpop terkenal itu setiap malam sebagai penghilang ‘stress’ ketika mengulang kaji pelajaran.

”Keputusan 9A+ ini memang tidak dijangka kerana soalan SPM agak sukar terutama bagi subjek Biologi yang memerlukan saya menghafal dan mengingat banyak perkara.

”Saya tidak mahu terlalu tertekan ketika mengulangkaji pelajaran, jadi setiap malam lagu-lagu dendangan kumpulan Blackpink menjadi peneman untuk saya menghilangkan ‘stress’ ketika belajar,” katanya ketika ditemui di Penang Free School di sini hari ini.

Bhuvenraj memperoleh A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik; Matematik Tambahan; Fizik; Kimia dan Biologi.

Anak tunggal itu berkata, dia banyak mengulang kaji soalan-soalan percubaan SPM terdahulu bagi mendapat teknik-teknik sesuai untuk menjawab soalan peperiksaan SPM 2022.

”Saya juga selesa mengulang kaji sendiri di rumah dan turut mengambil kelas tuisyen sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru, ibu bapa dan rakan-rakan sekolah lain yang banyak membantu saya sepanjang menghadapi peperiksaan,” katanya.

Tambahnya, dia yang meminati mata pelajaran Matematik merancang menyambung pelajaran ke peringkat A Level seterusnya ke peringkat universiti.

Dalam pada itu, ibu kepada Bhuvenraj yang merupakan pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta, R. Sunitha, 49, berkata, dia memberikan kebebasan kepada anak tunggalnya itu untuk memilih haluan tersendiri dalam hidup.

”Saya tahu dia peminat tegar kumpulan Blackpink dan tidak pernah melarangnya daripada meminati kumpulan berkenaan.

”Malah, saya melihat dia menyanyi dan menari lagu kumpulan Blackpink semasa mengulang kaji pelajaran, saya dan bapanya memberi galakan untuk dia lakukan apa yang dia minati asalkan tidak menganggu pelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.