Sorok heroin dalam bekas serbuk minuman suplemen - Utusan Malaysia

Sorok heroin dalam bekas serbuk minuman suplemen

HAMISAN Kalip (tengah) menunjukkan heroin yang disorokkan di dalam bekas serbuk minuman suplemen yang berjaya dikesan JKDM) Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Itu yang berlaku apabila satu cubaan oleh sindiket penyeludupan untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah disyaki jenis heroin ke dalam bekas serbuk minuman suplemen berjaya dipatahkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Selasa lalu.

Pengarah Kastam negeri, Hamisan Kalip berkata, ia susulan penemuan satu kotak bungkusan daripada sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran atau kurier di Kompleks Kargo Udara Kedua, Batu Maung kira-kira pukul 3.36 petang pada hari kejadian.

Terdahulu, katanya, dadah itu dijumpai disorok dalam tiga daripada enam bekas serbuk minuman suplemen itu yang cuba dieksport ke luar negara.

“Anggaran berat keseluruhan serbuk warna putih yang disyaki heroin itu adalah 1.412 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM132,375.

“Berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, bungkusan itu dipercayai cuba dikirimkan oleh seorang individu ke salah sebuah negara di kepulauan Oceania,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hamisan, selain menyorokkan dadah ke dalam bekas serbuk minuman suplemen kesihatan, sindiket berkenaan turut mengikrar bahan terlarang itu sebagai sebahagian daripada produk terbabit dalam Borang Kastam 2 (K2) untuk dieksport.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan rotan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati,” ujar beliau.

Tambah Hamisan, ketika ini, pihaknya telah mengenal pasti identiti pengirim bungkusan tersebut yang dipercayai rakyat tempatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.