KUALA LUMPUR: Sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka dijangka dilaksanakan sepenuhnya di semua lebuh raya di seluruh negara pada akhir tahun 2024.
Menerusi sistem itu, pengguna boleh menggunakan kad kredit, kad debit atau kad Touch ‘n Go untuk membuat bayaran tol.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada peringkat awal, kaedah pembayaran tersebut hanya boleh dilakukan di lorong-lorong khusus yang disediakan.
“Pembayaran tol secara terbuka akan bermula pada September ini di 12 buah lebuh raya,” katanya selepas majlis perasmian pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai di Cheras, semalam.
Sempena perasmian itu, Alexander mengumumkan tol percuma selama dua minggu di Plaza Tol Alam Damai.
Katanya, pembukaan Fasa 2 itu melengkapkan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer bermula dari persimpangan Sri Petaling dan berakhir di persimpangan Bukit Antarabangsa.
Sementara itu, mengenai nahas yang mengorbankan seorang penunggang motosikal akibat daripada tindakan seorang penunggang motosikal lain menunggang secara melawan arus kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, semua bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, dari segi aspek-aspek kejuruteraan, pihaknya telah mengambil maklum berkenaan tersebut untuk ditambah baik.
“Selain itu, pihak kami juga menambah papan tanda amaran di tempat-tempat yang strategik untuk menghindari kejadian yang sama berulang pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN