BACHOK: Seorang kontraktor pemasangan jubin ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, di sini kelmarin.
Perintah reman terhadap suspek berusia 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid di Mahkamah Majistret Bachok sehingga Rabu ini.
Ia bertujuan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang juga majikan mangsa tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9.32 pagi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki itu ditahan di sekitar daerah ini, semalam bagi membantu siasatan berhubung kematian pekerjanya, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
“Mangsa bekerja sebagai pemasang jubin dengan suspek. Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis tidak menolak kemungkinan kematian Muhammad Zakir Fikry mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada tanda-tanda berlaku kemalangan jalan raya.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati motosikal yang digunakan oleh mangsa dalam keadaan baik tanpa kerosakan.
Muhammad Zakir Fikry menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini kira-kira pukul 12.45 malam tadi selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.
Dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan. – UTUSAN










