ARAU: Siasatan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu pemilikan Pulau Pinang akan lebih mengukuhkan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Siasatan tersebut akan lebih memberi impak positif ke atas gabungan ity dalam menghadapi PRN di enam negeri selepas ini.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, apabila isu berkenaan cuba dimainkan pihak lawan, orang ramai akan lebih mengenali Sanusi yang juga merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan seorang pemimpin hebat.
“Selepas isu ini timbul, orang akan lebih mengenali Sanusi, dan kemudiannya melihat kepada rekod-rekod beliau disamping turut memperkenalkan PN kepada masyarakat menjelang PRN.
“Kalau ikutkan memang ada impak (apabila isu ini timbul) namun apa yang dilakukan pihak lawan itu lebih memberi kesan lebih positif dan mengukuhkan sokongan kepada PN,” katanya selepas Program Sukan Rakyat Sempena Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-80 di Masjid Ibnu Tamiyyah, Tambun Tulang, di sini, hari ini.
Sanusi sebelum ini dipanggil polis bagi memberi keterangan susulan kenyataan kontroversinya yang menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan milik Kedah sekali gus menimbulkan pertikaian ramai pihak.
Sanusi bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya beliau mendesak supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda agar Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menolak dakwaan bahawa siasatan terhadap Sanusi berhubung isu itu adalah berunsur politik dan tiada kena mengena dengan dendam politik atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, pihaknya percaya sokongan Melayu terhadap PN akan bertambah berikutan daripada agenda yang diperjuangkan oleh Sanusi itu.
“Di samping itu, sokongan kaum lain juga akan turut bertambah kerana beliau membawa agenda untuk semua kaum dengan saksama,” katanya.-UTUSAN