Shaik Abdul Rasheed diyakini mampu teruskan langkah monetari mapan - Utusan Malaysia

Shaik Abdul Rasheed diyakini mampu teruskan langkah monetari mapan

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan yang tinggi kepada bakal Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour untuk meneruskan langkah monetari yang mapan dan stabil agar ditingkatkan supaya kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.

Menurut Perdana Menteri, beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada Shaik Abdul Rasheed dalam mendepani cabaran semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara.

Selain itu, Anwar melahirkan penghargaan kepada Tan Sri Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi Bank Negara terutamanya ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh wabak menyerang.

“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan langkah monetari yang mapan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil,” katanya dalam Facebook beliau.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Shaik Abdul Rasheed di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Shaik Abdul Rasheed bakal mengambil alih jawatan Gabenor Bank Negara daripada Nor Shamsiah yang akan menamatkan khidmat baktinya pada 30 Jun ini.

Sebelum ini, Bank Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan Shaik Abdul Rasheed sebagai Gabenor bank pusat itu untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2016 dan mula berkhidmat di bank itu pada 1988.

Shaik Abdul Rasheed memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan graduan MBA Said Business School, Oxford University. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN