Setiap yayasan perlu ada laporan lengkap urus dana awam - PM

Setiap yayasan perlu ada laporan lengkap urus dana awam – PM

ANWAR Ibrahim menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Ketua Kumpulan Komunikasi Strategik Yayasan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz (kiri) kepada Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Abdul Rahman Siraj (kanan) pada Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan di Perbadanan Putrajaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap yayasan dan badal amal di negara ini disaran menghantar laporan lengkap kepada penderma bagi memastikan ketelusan pengurusan dana awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memulakan inisiatif berkenaan untuk Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dipengerusikannya agar yayasan itu muncul sebagai satu badan yang mengamalkan kaedah telus sekali gus memberi keyakinan kepada penderma.

Kata beliau, tradisi seumpama ini juga harus diikuti oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berhubung pengurusan wang zakat yang dipercayai tidak ada amalan seperti ini supaya ada laporan lengkap ke mana wang itu dibelanjakan.

“Saya bagi jaminan bahawa dana di bawah YWP diurus secara cekap dan baik. YWP akan memulakan tradisi baharu siapa yang menderma akan mendapat laporan dari pengurusan wang didermakan ini untuk apa.

“Saya harap ia diikuti badan-badan amal dan yayasan lain. YWP akan memastikan nama penderma itu disenaraikan, kemudian enam bulan selepas itu atau kurang akan ada surat bahawa derma itu digunakan untuk membeli 20 kerusi roda untuk OKU sebagai contoh berserta nama-nama penerima dan alamat.

“Dengan cara sedemikian ia memberi keyakinan bahawa kerja amal ini serius dan dilaksanakan dengan begitu baik,” katanya ketika melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, yayasan dan badan amal bertanggungjawab menyampaikan amanah penderma kepada mereka yang memerlukannya.

Jelasnya, sebanyak 80 peratus daripada jumlah peruntukan dana mestilah disampaikan kepada khalayak manakala perbelanjaan pengurusan tidak boleh melebihi 20 peratus.

Anwar pada masa sama berkata, yayasan yang ditubuhkan adalah untuk tujuan murni, namun terdapat kelemahan yang harus diperbaiki.

“Jawatankuasa pengurusan juga harus mengambil kepakaran luar dan menimba pengalaman dari professional lain kerana ramai yang bersedia memberi sumbangan idea kepada yayasan sekali gus mampu memberi pulangan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya