KUANTAN: Serbuan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin malam semalam, disifatkan sebagai helah politik pihak lawan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah berkata, perkata tersebut bagi memburukkan keadaan terutama membabitkan pemimpin kanan dalam PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlansung tidak lama lagi di enam buah negeri.
Menurutnya lagi, serbuan itu juga adalah satu tindakan terdesak kerajaan.
“Ketika dia tak berkesan sebagai kerajaan, dia harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam Bersatu dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.
“Saya menganggap ini helah politik yang murahan ketika PH-DAP-BN ‘desperate’ untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas membentangkan laporan enam bulan pertama Parlimen Indera Mahkota selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu, di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini, hari ini.
Berdasarkan laporan dikeluarkan media semalam, kediaman pemimpin PN itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.
Berdasarkan laporan, dalam serbuan dan penggeledahan itu, beberapa dokumen turut dirampas.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau sendiri telah menghubungi Hamzah untuk mendapatkan gambaran sebenar dan kecewa dengan tindakan tersebut.
“Saya sendiri menghubungi Datuk Hamzah semalam bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang berlaku, yang dikatakan nak disiasat itu ialah perkara sama sebelum ini kononnya telah disiasat.
“Apa dia niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa dia keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betul ke dari LHDN atau dari pejabat orang lain?.
“Yang saya tahu berita itu bukan keluar dari LHDN, tetapi dari pejabat lain,” katanya.- UTUSAN










