PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pelantikan sebagai Pengerusi Felda merupakan satu tanggungjawab dan amanah berat untuk membela dan memajukan warga peneroka yang seterusnya akan memberi impak positif dalam pembinaan negara dan bangsa.
Katanya, usaha itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan kuat daripada kerajaan, warga Felda dan semua pihak yang terlibat dengannya.
“Saya amat insaf, rendah diri dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk saya menerajui Felda.
“Bagi saya, ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berat untuk membela dan memajukan warga peneroka, mengangkat Felda ke persada dunia yang seterusnya akan memberi impak positif dalam pembinaan negara dan bangsa.
“Ia tidak mungkin dicapai tanpa dokongan kuat dari kerajaan, warga Felda dan semua pihak yang terlibat dengannya,” katanya dalam kenyataan.
Felda hari ini mengumumkan pelantikan Ahmad Shabery dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai ini bagi menggantikan Tan Sri Idris Jusoh.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery ingin merakamkan penghargaan kepada Idris di atas segala jasa dan khidmat beliau kepada Felda.
Beliau bertekad akan memperkukuh dan menambah baik legasi Idris demi kepentingan warga Felda keseluruhannya.
“Semoga Allah mempermudah dan memberkati usaha kita semua. Agar kami diberi kekuatan untuk menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan amanah,” katanya. – UTUSAN










