KUALA LUMPUR: Pelakon, Didie Alias memaklumkan anaknya, Muhammad Dhanial bakal menyarungkan sut milik bapanya, arwah Ridzuan Hashim di hari perkahwinannya pada September depan.
Perkara itu diceritakan sendiri oleh Didie ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Menurut pengacara popular itu, keputusan berkenaan dibuat Dhanial selepas dia menemukan sut tersebut sewaktu mengemas barang milik Allahyarham baru-baru ini.
“Arwah orangnya sangat rapi. Pembersih. Baju t-shirt pun dia akan gosok.
“Ada satu sut Dhanial cuba pakai dan kebetulan memang muat untuk dia.
“Jadi, dia beritahu untuk pakai sut tersebut sempena sesi potong kek pada majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ridzuan Hashim meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4 Mei lalu semasa bersarapan dengan anak-anaknya.
Berkongsi lanjut, Didie menyifatkan kesudian pihak tertentu yang ingin menaja majlis resepsi Dhanial yang keseluruhannya bernilai RM500,000 sebagai balasan Tuhan atas kebaikan anaknya itu menjaga Allahyarham sebelum beliau meninggal dunia.
“Dhanial orang terakhir bersama arwah. Dia pun terkejut apabila ada pihak mahu menaja perkahwinannya. Katanya, dia bukan siapa-siapa.
“Saya beritahu ini adalah rezeki dia kerana menjaga ayah. Ini mungkin balasan Allah untuk kebaikan yang dia pernah lakukan,” ujarnya.
Cerita Didie lagi, Dhanial dan isterinya, Nurkhairunisa akan terus mendiami rumah yang tujuh tahun disewa Allahyarham sebelum ini.
“Satu lagi rezeki yang Allah beri pada anak saya, rumah yang arwah menetap itu adalah kepunyaan rakannya.
“Perancangan anak saya dan isterinya selepas berkahwin nak duduk bersama arwah untuk menjaganya.
“Bila arwah sudah tiada, rumah perlu dikosongkan. Tetapi anak saya minta untuk sambung sewa dan Alhamdulillah atas persetujuan tuan rumah, anak saya dapat terus menyewa rumah arwah,” jelasnya.
Didie dalam masa yang sama menyatakan perancangan untuk melaksanakan sesi perarakan pengantin sempena majlis perkahwinan Dhanial September depan.
“Saya bercadang untuk menganjurkan perarakan pengantin menaiki transit aliran ringan (LRT) dari stesen Setiawangsa ke Jelatek,” katanya.