KUANTAN: Kerjaya sebagai tukang kasut ketika ini tidak lagi mewah seperti ketika zaman 90-an apabila mampu memperoleh pendapatan antara RM500 ke RM800 sehari.
Tukang kasut, Abdul Rahman Md. Nor, 74, berkata, zaman semakin berubah dan kini dapat sekitar RM50 sehari pun sudah dikira baik.
“Sekarang orang sudah kurang membaiki kasut kerana keadaan ekonomi mencabar serta harga barang yang semakin mahal dan ramai yang berjimat.
“Kalau dahulu, kasut rosak sedikit pun orang akan terus hantar baiki, tapi kini mereka hanya baiki kalau benar-benar perlu sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, selepas 37 tahun berkecimpung dalam dunia jahitan dan membaiki kasut, dia mengambil keputusan untuk menyerahkan perniagaannya kepada saudaranya bagi meneruskan legasi tersebut.
Katanya, dia berhasrat untuk tidak lagi meneruskan kerjaya itu secara sepenuh masa kerana ingin menumpukan perhatian terhadap hobi memancing yang sekian lama diminatinya.
“Bulan ini merupakan bulan terakhir saya berniaga. Selepas ini, saya akan serahkan kedai ini kepada saudara saya. Saya akan datang sekali-sekala untuk bersantai sambil mengajar mereka yang berminat mempelajari cara menjahit kasut.
“Selepas ini saya merancang untuk merantau ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi memenuhi hobi memancing dan menyertai pertandingan memancing,” katanya.
Abdul Rahman yang masih bujang mula menceburi bidang jahitan dan membaiki kasut pada tahun 1988 selepas merantau dari Jerantut ke Kuantan.
“Ketika itu, saya datang ke Kuantan dengan hanya berbekalkan wang sebanyak RM3 sahaja dan daripada situ, secara perlahan-lahan saya membina perniagaan membaiki kasut ini,” katanya.
Kemahiran menjahit dan membaiki kasut diperoleh ketika menjalani hukuman di Penjara Pudu sekitar tahun 1980-an.
Berkongsi kenangan sepanjang hampir 40 tahun menjadi tukang jahit kasut, katanya antara pengalaman paling manis apabila diberi peluang membaiki kasut milik pelakon terkenal tanah air.
Katanya, tahun lalu, dia pernah membaiki sandal milik pelakon Ashraf Muslim yang ketika itu, berada di Pantai Sepat bagi menjalani penggambaran.
Mungkin kerana bermain air, sandalnya putus dan dia datang ke kedai Abdul Rahman untuk membaiki sandalnya.
“Sebelum itu, ada juga pelakon lain datang ke kedai. Kehadiran mereka merupakan pengalaman yang cukup manis bagi saya.
“Sebetulnya didatangi tetamu VIP seperti mereka saya anggap sebagai rezeki kerana biasanya mereka membayar lebih daripada sepatutnya.
“Saya pernah menerima bayaran RM200 hanya untuk membaiki kerosakan kecil. Mereka anggap ia sebagai sedekah,” katanya. – UTUSAN










