KUANTAN: Tindakan pantas pasukan peronda Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai hampir RM15 juta dalam satu operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, dekat sini semalam.
Rampasan itu dibuat ketika Operasi Utama Zon Timur dijalankan pada pukul 10 pagi hingga 1 petang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan bermula apabila pasukan peronda menerima maklumat awam tentang sebuah Mitsubishi Triton putih dipandu melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Pasukan peronda segera membuat pemantauan dan menemukan kenderaan tersebut di Kilometer (KM) 211 LPT arah ke Kuala Lumpur dalam keadaan ditinggalkan di bahu jalan.
“Pemeriksaan di bahagian bonet belakang kenderaan menjumpai tujuh plastik hitam mengandungi 140 bungkusan plastik kristal jernih bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.
Menurut Yahaya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemukan 15 lagi plastik hitam mengandungi 300 bungkusan bahan sama.
“Secara keseluruhan, polis merampas 22 plastik hitam mengandungi 440 bungkusan dadah dengan anggaran berat 468.3 kilogram dan nilai rampasan mencecah RM14.98 juta,” katanya.
Difahamkan, jumlah syabu yang dirampas itu berupaya menampung penggunaan sehingga 936,600 penagih dengan anggaran penggunaan 0.5 gram sehari.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pemilik kenderaan. Polis menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman dashcam supaya tampil membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










