RM3.4 juta disediakan pulih lima projek perumahan terbengkalai - Utusan Malaysia

RM3.4 juta disediakan pulih lima projek perumahan terbengkalai

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (dua, kanan) meninjau projek perumahan di Taman Desa Gelugur Murni, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat  menyediakan peruntukan sebanyak RM3.4 juta bagi memulihkan lima projek perumahan terbengkalai di Terengganu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi kerajaan negeri dengan sasaran untuk menyiapkan projek terbabit pada tahun 2024.

Menurut beliau, kementerian terpaksa campur tangan membantu pembeli meskipun tugas menyiapkan projek perumahan adalah di bawah tanggungjawab pemaju.

“Di seluruh negeri Terengganu terdapat 24 projek (perumahan) sakit iaitu projek yang sudah terlewat dari tarikh jangkaan siap tetapi masih ada kerja-kerja di tapak oleh pemaju.

“Sementara itu, sebanyak 12 projek lagi terbengkalai sama ada pemaju cabut lari atau gulung tikar memaksa KPKT mencari jalan untuk memulih dan melancarkan semula projek berkenaan.

“Daripada 12 projek itu, kita telah kenal pasti lima untuk dibaikpulih dengan kaedah pemberian peruntukan kepada kerajaan negeri akan diperincikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak projek perumahan di Kampung Gelugur Kedai dekat sini, hari ini.

Akmal Nasrullah memberitahu, sebelum ini KPKT mengesan 435 projek sakit dan 112 projek terbengkalai di seluruh negara dengan bilangan itu dijangka terus bertambah ekoran beberapa faktor.

Menurutnya lagi, suku pertama tahun ini menyaksikan 92 projek telah dilancar semula dengan 80 telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) manakala 12 lagi kembali mengikut jadual.

“Pemaju diingatkan bertanggungjawab menyiapkan projek perumahan seperti perjanjian dengan pembeli dan kerajaan Persekutuan tidak boleh terus ‘menjamin’ projek sakit atau terbengkalai.

“Bagaimanapun KPKT sentiasa berunding dengan agensi seperti syarikat air negeri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mencari jalan membantu pembeli,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya