Rendy Pandugo tambat hati peminat Malaysia - Utusan Malaysia

Rendy Pandugo tambat hati peminat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DITERBANGKAN jauh dari Indonesia, penyanyi yang semakin diminati, Rendy Pandugo teruja dengan kejayaan konsert perdananya di Malaysia, baru-baru ini. 

Dalam temu ramah eksklusif bersama Utusan Malaysia, penyanyi yang meledak dengan lagu By My Side dan Sebuah Kisah Klasik nyanyian asal kumpulan Sheila on 7 itu mendedahkan sebelum ini sering menerima pelawaan peminat Malaysia untuk membuat persembahan di negara ini. 

Akhirnya, bertempat di Gudang Space, The Paddock Petaling Jaya, hasrat peminat untuk menyaksikan Rendy membawakan 16 lagu dari album The Journey sehingga mini albumnya See You Someday, terlaksana. 

“Ada yang memaklumkan mereka datang dari Pulau Pinang untuk bertemu saya. Adakah Pulau Pinang jauh dari Kuala Lumpur?” katanya. 

Penyanyi asal Medan itu menempuh perjalanan panjang sebelum bergelar artis. Bermula sebagai gitaris untuk sebuah band bernama DiDa pada tahun 2011, Rendy kini bersedia menghadapi cabaran baharu sebagai komposer, penulis lirik dan penyanyi solo. 

“Saya bukannya vokalis untuk band lama. Jadi, saya tidak nafikan agak janggal berdepan pengunjung ketika atas panggung apabila bergerak solo. Tambah pula, saya seorang introvert. 

“Saya, sehingga hari ini akan berlatih sebelum berdepan penonton persembahan saya. Biasanya saya akan berbual dan bercerita dengan mereka tentang lagu. 

“Namun jika pengunjung ‘menggila’ dan berseronok, saya juga akan menggila di atas pentas. Pendek kata, saya rasakan tenaga yang mereka berikan,” katanya lagi. 

Tidak mudah menjadi artis solo lelaki di Indonesia yang saban hari muncul nama baru tampil dengan muzik lebih segar. Rendy akui pernah meragui kebolehan sendiri. 

“Saya juga tidak tahu mengapa di Indonesia lebih banyak penyanyi solo lelaki. Saya percaya semua orang ada kolumnya masing-masing. Mungkin ada berselisih di laluan yang sama namun setidaknya muzik mereka berbeza. 

“Contoh, saya dan Pamungkas mungkin lebih kurang sama (daripada aspek muzik). Malah, kami pernah berkolaborasi menerusi lagu Friends yang diterbitkan tahun lalu. Sebenarnya saya ada maklumkan dia tentang rasa cemas saya terhadap muziknya yang mencabar dan memberi inspirasi kepada saya. 

“Dari situ kami banyak berbual sehingga akhirnya saya kembali menulis lagu-lagu baru. Saya tahu ia sukar, tapi kadangkala kita kena berani menghasilkan muzik tanpa memikirkan judgement orang terhadap karya-karya kita,” tambahnya yang juga pernah memenangi Male Singer of the Year di Indonesia Choice Awards 2018 . 

KEMBALI MENULIS LAGU BAHASA INDONESIA 

Jejaka berusia 38 tahun ini dikenali dengan lagu berbahasa Inggeris. Dia mengakui, jarang menyimpan memori indah terhadap lagu-lagu bahasa Indonesia yang dihasilkannya. 

Ketika bersama kugiran, dia aktif menulis lagu bahasa Indonesia. Namun sambutannya tidak serancak lagu bahasa Inggeris yang ditulisnya. 

“Sebenarnya, saya menulis lagu dalam bahasa Inggeris kerana saya trauma untuk menghasilkan album dalam bahasa Indonesia. Saya pernah menyertai sebuah band yang lagu-lagunya ditulis dalam bahasa Indonesia. Sayangnya, ia tak berjalan lancar. 

“Tahun itu pula ada banyak boyband dan susah untuk saya menuliskan lagu bahasa Indonesia,” dedahnya. 

Namun selepas hiatus panjang, tahun ini Rendy melawan traumanya dengan menghasilkan sebuah lagu berbahasa Indonesia dalam komposisi muzik yang sangat berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan menerusi album sebelumnya. 

Belum sedia berkongsi judul lagu itu kepada umum, Rendy bagaimanapun akan melancarkan lagu berkenaan pada bulan hadapan. 

“Tak tahu mengapa tiba-tiba saya mahu menghasilkan lagu Indonesia. Mungkin masanya sudah tiba untuk saya menghasilkan sesuatu yang baru. 

“Akan terbit bulan hadapan. Nantikan ya,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN