Tidak faham bagaimana perkongsian pengalaman saya sendiri boleh dianggap ‘toksik’ - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Tidak faham bagaimana perkongsian pengalaman saya sendiri boleh dianggap ‘toksik’ – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah tampil membidas seorang individu yang melabel dirinya toksik dan mendakwa perkongsiannya mengenai berat badannya yang terdahulu ditujukan kepada pihak tertentu.

Menurut Shila, perkongsian tersebut hanya merujuk kepada pengalaman peribadinya berkaitan tubuh dan kesihatan sendiri, bukannya bertujuan menyentuh atau menghakimi keadaan fizikal individu lain.

“Saya bercakap mengenai diri saya sendiri. Tubuh saya sendiri, kesihatan saya sendiri dan pengalaman saya sendiri.

“Saya pernah berada pada berat badan paling tinggi dan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengatasi perjuangan dengan dismorfia tubuh serta menyedari betapa saya telah mengabaikan kesihatan diri,” katanya menerusi Threads.

Ambil kesilapan terdahulu sebagai pengajaran, penyanyi lagu Patah Seribu itu memilih untuk mengambil langkah lebih serius dalam menjaga kesihatan.

“Saya kini hanya berbaki empat tahun sebelum mencecah usia 40 tahun, jadi saya mengambil langkah untuk berubah.

“Sejujurnya, saya tidak faham bagaimana perkongsian mengenai pengalaman saya sendiri boleh dianggap sebagai sesuatu yang ‘toksik’,” katanya.

Dalam pada itu, Shila menegaskan masalah kesihatan dan kesakitan sendi yang dialaminya ketika mempunyai berat badan berlebihan sebelum ini adalah pengalaman sebenar.

“Kesakitan sendi yang saya alami itu benar. Masalah kesihatan itu juga benar. Begitu juga dengan keinginan untuk berasa lebih sihat dan kuat dalam tubuh saya sendiri. Itu sahaja,” katanya.

Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di Threads Shila mengakui dirinya trauma ketika berat badan pernah mencecah 84 kilogram dengan ketinggian 165 sentimeter sehingga mengalami sakit lutut dan buku lali.

Dia turut mengakui pernah melalui fasa diet yang tidak konsisten, selain menyedari tekanan dan kekurangan tidur memberi kesan terhadap dirinya.

Pengalaman tersebut membuatkan Shila kini lebih peka terhadap pemakanan dan kesihatan dan berharap dapat terus istiqamah dalam mengekalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Bagaimanapun, luahan tersebut dianggap toksik oleh seorang individu yang mendakwa perkongsian tersebut ditujukan kepada penyanyi, Najwa Latif yang turut menjadi mangsa ‘body shaming’ sejak kebelakangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×