Program pembangunan sosioekonomi bersasar bantu komuniti India B40

Program pembangunan sosioekonomi bersasar bantu komuniti India B40

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi bersasar melibatkan 72 kawasan Parlimen yang mempunyai kepadatan tinggi masyarakat India.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, program yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat itu memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada setiap pusat khidmat rakyat.

“Daerah Petaling, Selangor merupakan antara kawasan kepadatan masyarakat India tertinggi iaitu seramai 189,378 orang diikuti Johor Bahru, Johor seramai 126,803 orang dan daerah Kinta, Perak seramai 104,831 orang.

“Dana yang diperuntukkan itu bertujuan pembangunan modal insan, keusahawanan dan kerjaya atau pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan yang akan memanfaatkan penduduk tempatan dengan kos pelaksanaan program keseluruhan sebanyak RM7.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Inisiatif MITRA Siri Ke-2 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, MITRA turut menjalin kerjasama dengan syarikat operator helikopter terbesar di rantau Asia Tenggara, Weststar Aviation Services bagi melatih seramai 100 belia India daripada golongan B40.

Menurutnya, mereka yang terpilih akan dilatih selama 21 bulan untuk menjadi juruteknik dengan pensijilan dan lesen daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diberikan penempatan kerja selepas tamat latihan.

Katanya lagi, antara inisiatif lain yang bakal diperkenalkan adalah jalinan kerjasama dengan Google For Education Malaysia.

“Ia merupakan program bantuan komputer riba untuk makmal komputer di 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara membabitkan sebanyak 6,000 ‘refurbished laptop’ dengan anggaran kos sebanyak RM3 juta.

“Komputer riba berkenaan akan dipasang dengan Google Chrome OS Flex yang membolehkan riwayat peranti itu bertahan selama lapan hingga 10 tahun lagi.

“Program tersebut bertujuan memberi akses dan peluang lebih terbuka kepada murid-murid dalam bidang ICT,” ujarnya.

Ramanan berkata, selain Google Malaysia, MITRA juga berkolaborasi dengan SG Education Group bagi program latihan dan pensijilan yang turut dilengkapi penempatan pekerjaan bagi golongan belia.

“Seramai 150 belia akan dilatih menyertai program Drone Operations and Data Services, manakala 250 belia lagi akan menyertai program Electrified Automation Advancement Program (EAAP),” ujarnya.

Ditanya mengenai inisiatif MITRA yang diumumkan pada 5 Mei lalu, Ramanan berkata, sebanyak 4,218 permohonan diterima setakat ini bagi program subsidi bantuan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam.

Jelasnya, bagi subsidi pendidikan awal tadika swasta Tamil, MITRA menerima sebanyak 4,973 permohonan manakala sejumlah 1,032 permohonan diterima daripada pusat dialisis dan pesakit buah buah pinggang bagi inisiatif bantuan dialisis untuk golongan B40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya