Produksi culas, Istana Budaya tanggung hutang RM3 juta

Produksi culas, Istana Budaya tanggung hutang RM3 juta

Istana Budaya menanggung hutang terkumpul RM3 juta gara-gara syarikat produksi gagal melunaskan bayaran sewaan panggung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Istana Budaya terpaksa menanggung hutang terkumpul sebanyak RM3 juta gara-gara syarikat produksi gagal melunaskan bayaran sewaan panggung.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar mendedahkan, jumlah berkenaan adalah anggaran hutang terkumpul dari tahun 2010 melibatkan kira-kira 34 syarikat produksi dan dua syarikat ejen tiket.

Disebabkan itu, pihaknya terpaksa memperkenalkan prosedur operasi standard baharu untuk urusan sewaan bermula tahun 2022.

“Daripada jumlah itu, ada produksi yang sudah mula membayar secara beransur-ansur.

“Ada juga yang sudah gulung tikar dan masih berdegil serta kes dibawa ke mahkamah.

“Kami juga tersepit sebab berhutang dengan kru yang sudah bekerja lebih masa untuk sesuatu pementasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zubaidah berkata, tunggakan hutang itu mencacatkan reputasi imej Istana Budaya sebagai agensi kerajaan, malah pihaknya juga mengalami kesukaran untuk menambah baik kemudahaan teknikal.

“Hutang tersebut memberikan imej buruk kepada Istana Budaya kerana setiap kali kami menghantar laporan kewangan kepada kementerian, ada sahaja hutang belum selesai di bawah akaun belum terima (ABT).

“Apabila pihak kewangan melihat ada banyak hutang tertunggak, sukar untuk kami meneruskan program baharu atau membaiki barangan teknikal. Pendek kata, kami tersepit,” jelasnya.

ZUBAIDAH MUKHTAR

Bermula tahun lalu, Istana Budaya meneliti dan memperbaharui semula prosedur sewaan kepada pelanggan.

Jelasnya, semua pembaya­ran secara penuh mestilah diselesaikan sebelum per­sem­bahan dilakukan bagi menge­lakkan hutang tertunggak berbanding kaedah sebelum ini yang membolehkan bayaran deposit 50 peratus.

“Kami meneliti klausa perjanjian sewaan yang mempunyai kelompongan daripada aspek perundangan. Kami telah berbincang dengan peguam untuk memperbaharui beberapa perkara.

“Menerusi SOP baharu, produksi mestilah menyerahkan bayaran awal bukan sahaja untuk lokasi malah bayaran perkhidmatan kru dan pekerja belakang pentas.” katanya.

Menurut Zubaidah, Istana Budaya menawarkan kadar sewaan berpatutan iaitu RM15,000 berbanding beberapa lokasi acara lain di Kuala Lumpur.

“Kita sudah lihat nilai pasaran untuk sewaan jika diban­dingkan dengan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur.

“Istana Budaya menawarkan harga yang sangat murah iaitu RM15,000 lengkap kerusi, bilik solekan dan ruangan.

“Di tempat lain belum tentu mereka boleh dapat harga sebegini, kami jamin harga di sini adalah yang paling murah setakat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×