SEREMBAN: Projek perumahan yang dibangunkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) iaitu Residensi Bandar Ekar (Rantau) di sini yang dikategorikan sebagai projek sakit sebelum ini, akan disiapkan pada suku keempat tahun ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, komitmen sama melibatkan sebuah lagi projek perumahan PR1MA di negeri ini iaitu Residensi Port Dickson.
“Selain Residensi Seremban Sentral, PR1MA mempunyai dua projek lain di Negeri Sembilan iaitu Residensi Bandar Ekar di Rantau dan Residensi Port Dickson, yang mana sebanyak 1,425 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi sedang dibangunkan.
“Pembangunan Residensi Bandar Ekar dan Residensi Port Dickson dijangka disiapkan pada suku keempat tahun ini.
“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kedua-dua projek ini disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral di sini, kelmarin.
Utusan Malaysia pada 10 Jun lalu melaporkan kekecewaan pembeli Residensi Bandar Ekar di Rantau di sini selepas projek berkenaan belum dapat disiapkan walaupun dibeli mereka enam tahun lalu.
Projek perumahan yang melibatkan lebih 750 unit itu mula dibina pada tahun 2017 dan sepatutnya disiapkan pada 2019.
Eoran pelbagai masalah dihadapi, ia mengalami masalah lewat sehingga dikategorikan sebagai projek sakit oleh KPKT sehingga 31 Mac lalu.
Sementara itu, Kor Ming memberitahu, sejak beliau memikul tugas sebagai menteri, terdapat sebanyak 17 projek perumahan sakit di bawah PR1MA.
“Bagaimanapun, setakat hari ini sebanyak sembilan buah projek diselamatkan dan diserahkan kunci kepada pembeli. Bakinya adalah pada akhir tahun depan, siap semuanya tanpa ada lagi mana-mana projek sakit di bawah PR1MA,” katanya. – UTUSAN










