KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu mempertahan kemenangan di Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dengan pertambahan beberapa lagi kerusi.
Gabungan itu diramal mampu menawan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 22 dimenangi daripada 32 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Berdasarkan keputusan PRU15, PN yang menyapu bersih lapan Parlimen turut menguasai 31 kerusi DUN manakala hanya satu DUN iaitu Telemong dimenangi BN dengan majoriti kecil.
Penyumbang kemenangan bergaya PN di Terengganu pada PRU15 adalah dalam kalangan pengundi 18 tahun yang merupakan kali pertama mengundi dan pengundi muda lain.

Pentadbiran Pas di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar didapati disenangi oleh rakyat Terengganu walaupun tidak banyak pembangunan dilaksanakan di negeri itu.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri memberitahu, sepanjang lima tahun penggal ini, kerajaan negeri tidak melaksanakan banyak projek pembangunan kerana sebahagian peruntukan digunakan untuk menyiapkan projek-projek yang ditinggalkan kerajaan BN sebelum ini.
Menteri Besar itu menegaskan, penggal kedua selepas PRN ini pula akan diberi perhatian terhadap projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Selain itu, rakyat di negeri ini juga tidak mempunyai keyakinan tinggi kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri ini kerana tidak mempunyai barisan pemimpin baharu yang berkualiti.
Pada PRN ini, BN dijangka mengetengahkan lebih calon dalam kalangan muka lama yang dilihat tidak dapat lagi diterima pengundi muda.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, Pas bukan sahaja dapat mempertahankan 22 kerusi yang dimenangi PRU15 lalu, malah merampas sekurang-kurangnya lima kerusi disandang BN.
Sementara itu, gabungan BN pula dijangka memenangi empat kerusi sahaja iaitu kawasan kubu kuatnya sebelum ini.
Pada masa sama, pemimpin Pas di negeri ini tetap menaruh keyakinan dapat memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertandingkan.

Sebanyak 28 kerusi DUN yang dijangka dimenangi PN ialah Kota Putera, Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Jabi, Permaisuri, Langkap, Tepuh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payung, Ru Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang, Ajil, Rantau Abang, Sura, Paka, Kemasik, Chukai dan Air Putih.
BN dan PH pula dijangka dapat mempertahankan DUN Kijai, Telemung, Seberang Takir dan Batu Rakit sahaja.
Bagaimanapun, BN masih berpeluang untuk merampas semula di negeri ini sekiranya manifesto yang ditampilkan pada PRN ini dapat memikat hati pengundi muda. – UTUSAN










