PN ada kelebihan pertahan Kedah

PN ada kelebihan pertahan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah menyaksikan Perikatan Nasional (PN) yang sedang memimpin kerajaan negeri ketika ini dilihat mempunyai kelebihan untuk mempertahan pentadbiran pada penggal seterusnya.

Berdasarkan kiraan dan situasi semasa di atas kertas, gabungan antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dijangka mampu meraih kemenangan dua pertiga atau lebih di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna sekurang-kurangnya 24 daripada 36 keseluruhan kerusi DUN di negeri ini diramal diisi oleh wakil rakyat PN yang pada penggal ini memiliki 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Pas yang dikatakan akan bertanding kira-kira 20 kerusi atau lebih berkemungkinan besar tidak sukar untuk mempertahan 15 kawasan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Antara kawasan berkenaan ialah Ayer Hitam; Kuala Nerang; Pedu, Bukit Lada; Bukit Pinang; Tokai; Sungai Limau; Belantek; Jeneri; Tanjung Dawai; Pantai Merdeka; Bayu; Kupang; Kuala Ketil dan Merbau Pulas.

Bersatu pula menyandang tiga kerusi DUN ketika ini iaitu Ayer Hangat; Kuah dan Bukit Kayu Hitam selain tiga lagi kerusi hasil penghijrahan wakil rakyat UMNO di Guar Chempedak dan dua ADUN PKR di Sidam serta Lunas.

PN juga yakin kerusi disandang Bersatu di Jitra dan Anak Bukit yang kini diwakili ADUN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kembali kepada mereka pada PRN tidak lama lagi.

Selain itu, Gerakan yang diberikan tiga kerusi DUN untuk ditandingi di Kedah tidak ketinggalan mahu menyumbang kemenangan kepada PN selepas mereka dipercayai meletak calon di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Derga.

Muhammad Sanusi Md. Nor

Faktor gelombang rakyat dan pengaruh Muhammad Sanusi dikatakan penyebab utama keputusan cemerlang yang diraih PN di peringkat Parlimen pada PRU15, November lalu tidak mampu menterbalikkan keputusan di negeri yang dikenali sebagai swing state ini.

Keadaan itu ditambah dengan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah yang belum selesai 100 peratus sehingga memaksa dibawa kepada pucuk kepemimpinan kedua-dua parti untuk ditentukan.

BN berharap setiap 15 kawasan Parlimen di Kedah diberikan satu kerusi DUN kepada mereka untuk mengimbangi wakil kedua-dua gabungan itu, namun situasi itu dikhabarkan sukar kerana terdapat Parlimen yang kesemua kerusi DUN disandang oleh PH dengan mengambil kira faktor status quo.

Bagaimanapun, terdapat kawasan yang yakin dimenangi gabungan tertentu dikatakan masih samar-samar kerana 1,585,690 pengundi di Kedah juga mahu melihat terlebih dahulu siapa calon di kawasan DUN mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN