PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput warga Kelantan khususnya anak-anak muda untuk menyertai sesi Temu Anwar yang diadakan Ahad ini bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.
Perdana Menteri berkata, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.
“Para peserta bebas melontarkan apa jua soalan ketika sesi ini diadakan dan saya akan menjawabnya. Kita jumpa Ahad ini!,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebagai rekod, Temu Anwar merupakan program dialog anak muda bersiri yang dilaksanakan sejak 2009 dan terus mendapat sambutan sehingga kini.
Temu Anwar diadakan khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus kepadanya dan disiarkan secara langsung. – UTUSAN










