PM arah JPA teruskan tajaan perubatan, pergigian dan farmasi

PM arah JPA teruskan tajaan perubatan, pergigian dan farmasi

ANWAR Ibrahim pada program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat akan meneruskan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu berdasarkan situasi semasa yang mana masih terdapat keperluan bagi sektor-sektor terbabit dalam negara.

 “Sejak minggu lalu saya ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka kata itu (menghentikan tajaan) adalah dasar sedia ada, dasar yang lalu.

“Jadi saya minta dikaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada.

“Maknanya program biasiswa JPA untuk sektor-sektor  ini akan diteruskan,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 5,000 peserta majoritinya penuntut USM.

Anwar menjawab soalan salah seorang peserta program itu yang juga mahasiswa USM berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali seperti dilaporkan media semalam berkata, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Katanya, Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Tambah Armizan, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812 berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721 dan ekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029

Mengulas isu tersebut, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan JPA berhubung keputusan menghentikan penajaan jabatan berkenaan kepada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata, keputusan itu adalah berdasarkan kajian oleh kementerian pada tahun 2019 namun menurutnya berkemungkinan terdapat perubahan-perubahan berlaku selepas Covid-19 yang perlu diberikan perhatian.

“Saya maklum tentang perkara tersebut (pemberhentian penajaan) dan ia berdasarkan kepada kajian yang dibuat pada 2019. Kami telah berbincang dengan pihak teratas untuk melihat dan mengkaji kembali keputusan yang dibuat oleh JPA.

“Kajian yang telah dibuat tahun 2019, ada perubahan-perubahan yang berlaku selepas Covid-19 ini. Mungkin ada perkara-perkara baharu yang boleh kita lihat balik daripada kajian tersebut, mungkin boleh melihat kepada polisi-polisi baharu, apa pun kita akan terus buat perbincangan juga tentang perkara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×