DENGAN 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoritinya pengundi Cina, Pakatan Harapan (PH) dilihat hampir pasti membentuk semula kerajaan negeri di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Berdasarkan sentimen semasa yang mana pengundi Cina dilihat masih setia bersama DAP, kesemua 19 kerusi DUN majoriti Cina itu bukan sahaja boleh dipertahan calon parti itu, malah mungkin sekali lagi dimenangi dengan majoriti undi besar.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 iaitu ketika pertama kali DAP merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN), semua 19 kerusi DUN itu dimenangi calon DAP sehingga pada PRU15, iaitu kemenangan 100 peratus parti tersebut di Pulau Pinang.

Dengan kedudukan selesa kerusi tetap DAP itu, PH Pulau Pinang kini hanya memerlukan kemenangan di dua kerusi DUN lagi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah iaitu 21 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi yang dipertanding.
Baki dua lagi kerusi DUN itu meskipun tidak ditandingi calon DAP, dilihat tetap memihak kepada calon PH kerana terdapat enam lagi DUN yang mana sekurang-kurangnya 50 peratus pengundinya adalah majoriti Cina.
Dengan beberapa kelebihan seperti kedudukan DUN di kawasan bandar dan faktor calon yang kuat dan berpengaruh, keenam-enam kerusi ini dilihat condong dimenangi PH meskipun tidak ditandingi calon DAP.
Namun, apa yang pasti, PH pada PRN kali ini dilihat hampir mustahil untuk mengulangi kemenangan besar majoriti kerusi (37 DUN) seperti dicapai pada PRU14.
Ini disebabkan gelombang PN yang dilihat semakin dominan di kawasan-kawasan majoriti Melayu termasuk di 15 buah kerusi DUN yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
Mengambil kira kejayaan PN merampas kubu-kubu kuat BN dan PH di kerusi majoriti Melayu ini pada PRU-15 termasuk di Parlimen Kepala Batas dan Permatang Pauh dengan majoriti selesa, kejayaan sama dijangka diulangi calon PN di 15 kerusi majoriti Melayu pada PRN kelak.
Namun, PN boleh mencipta kejutan khususnya di enam kerusi yang tidak ditandingi calon DAP untuk menafikan kedudukan dua pertiga PH di DUN Pulau Pinang.
Beberapa kawasan DUN seperti Batu Uban; Pantai Jerejak dan Batu Maung boleh menjadi titik perubahan buat PN untuk menamatkan penguasaan PH atau DAP di Pulau Pinang sekiranya mereka berjaya mencari formula tepat merubah sokongan pengundi.
Kekuatan parti komponen PN khususnya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) wajar digunakan sepenuhnya di kerusi-kerusi dengan majoriti pengundi Cina sekitar 50 peratus itu terutama dalam soal pemilihan calon yang tepat untuk memecah undi yang mungkin boleh memberi kelebihan kepada calon PN. – UTUSAN










