PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperluaskan lebih banyak pelaksanaan sistem klinik maya sebagai usaha mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan terutama bagi kes-kes bukan kecemasan.
Pesakit yang boleh menggunakan perkhidmatan tersebut ialah mereka yang mempunyai rekod rawatan sedia ada dengan hospital dan bukannya pesakit baharu.
Ini termasuk pesakit yang menunggu semakan keputusan makmal selain penjagaan pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain yang stabil serta mempunyai janji temu untuk pemantauan berterusan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pada masa ini lebih 300 klinik di hospital-hospital kerajaan mengaplikasikan sistem klinik tersebut selepas ia mula dilancarkan pada 2019 ketika tempoh pandemik Covid-19.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan salah satu langkah mendigitalisasi sistem kesihatan negara yang mana pesakit tidak perlu hadir secara fizikal untuk tujuan konsultansi atau pemeriksaan susulan.
“Pandemik Covid-19 telah membuatkan kita terfikir mengenai digitalisasi seperti klinik virtual ini dengan menunjukkan bahawa kita boleh beri nasihat pesakit dari jauh.
“Jadi kita mahu perluaskan sistem klinik virtual ini dan setakat sekarang ini lebih 300 klinik menggunakan kaedah ini sekali gus boleh mengurangkan kesesakan hospital dan menjimatkan masa,” katanya di sini semalam.
Menurut Garis Panduan Pelaksanaan Klinik Virtual yang dikeluarkan KKM, sistem ini merupakan satu perkhidmatan kesihatan secara virtual, langsung live dan interaktif yang dirancang merangkumi khidmat nasihat doktor, pendidikan kesihatan dan pelan rawatan antara anggota kesihatan dan pelanggan.
Ia ditawarkan sebagai alternatif kepada perkhidmatan pesakit luar sedia ada di hospital untuk memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan kesihatan sekali gus dapat menjimatkan masa dan kos pengangkutan serta mengurangkan sesi lawatan ke hospital.
Kesesakan di hospital boleh dikurangkan yang bukan sahaja berpunca dari lawatan pesakit, malah dari keluarga atau teman yang mengiringi pesakit untuk hadir ke klinik mendapatkan rawatan susulan.
Pesakit klinik maya hanya perlu menunggu dalam tempoh slot yang ditetapkan dalam keselesaan ruang privasi sendiri.
Dr. Zaliha sebelum ini mengumumkan tujuh langkah untuk mengurangkan kesesakan terutama di Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara antaranya, pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan sedia ada dalam KKM; Memperkasakan Inisiatif Lean Healthcare dan pelaksanaan projek Short Stay Unit.
Selain itu KKM juga akan melaksanakan pendigitalan unit pengurusan katil (BMU) secara berpusat Secara Berpusat Melalui Sistem CPRC Hospital; bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta melalui kaedah penyumberluaran serta merawat kes bukan kecemasan dialihkan ke klinik kesihatan dan melanjutkan operasi klinik kesihatan.
Projek rintis yang dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di Klang mencatatkan penurunan sebanyak 54 peratus kedatangan pesakit zon hijau (bukan kecemasan) ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, sistem perkhidmatan farmasi secara digital turut diperluaskan iaitu kaedah penghantaran ubat melalui pos bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan tersebut dengan lebih cepat dan mudah.
“Ini antara perkara untuk memperbaiki sistem kesihatan ke atah digitalisasi. Pemberian bekalan ubat kita gunakan kaedah baharu seperti pos dan ada juga diletakkan di masjid-masjid.
“Kita sediakan rak di masjid-masjid terpilih dan pesakit berkaitan ambil ubat itu. Ini memang ada tetapi belum diimplementasi secara meluas,” katanya. – UTUSAN










